
BINTULU: Persatuan Anaq Vaie Bintulu (PAVB) menyifatkan tindakan kerajaan Sarawak memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan berkaitan hak petroleum sebagai langkah penting bagi melindungi kepentingan jangka panjang negeri dan rakyatnya.
Presidennya, Pandi Suhaili berkata, usaha mendapatkan penentuan kehakiman berhubung pemakaian undang-undang petroleum dilihat mampu memberi kejelasan terhadap kedudukan hak Sarawak ke atas sumber minyak dan gas.
Menurut beliau, isu tersebut mempunyai implikasi besar terhadap pembangunan ekonomi negeri memandangkan hasil sumber asli memainkan peranan utama dalam pertumbuhan Sarawak.
“Langkah ini penting bagi memastikan hak Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 terus dihormati.
“Kami di peringkat masyarakat menyokong penuh usaha kerajaan negeri mempertahankan kepentingan rakyat Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sokongan yang dizahirkan PAVB turut mencerminkan suara masyarakat di Bintulu yang merupakan antara kawasan utama industri minyak dan gas negeri.
Tambahnya, persatuan itu yakin usaha kerajaan negeri melalui saluran perundangan akan membantu memperkukuh kedudukan Sarawak dalam pengurusan sumber petroleum pada masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Sarawak agar terus bersatu dan memberi sokongan terhadap segala usaha yang menjurus kepada perlindungan hak negeri serta kesejahteraan rakyat.