MADINAH: Setiap kali tiba musim haji, selain petugas haji yang diterbangkan khas dari tanah air, kehadiran pembantu petugas haji atau lebih dikenali sebagai PATUH juga tidak kurang pentingnya dalam membantu kelancaran operasi Lembaga Tabung Haji (TH).
Mereka yang kebanyakan berasal dari Patani, Thailand; Indonesia dan Bangladesh, selain rakyat Malaysia sendiri yang menetap di Arab Saudi, diupah membantu mengendalikan jemaah haji Malaysia selain bertindak menjadi pemudah cara untuk petugas haji dengan kerajaan Arab Saudi.
Hal ini kerana kesemua mereka fasih berbahasa Arab, malah ada yang mampu bertutur dalam bahasa Melayu, sekali gus mengatasi masalah komunikasi apabila berurusan dengan warga atau pihak berkuasa tempatan.
Menurut Majed Abdulrahman Taib, seorang PATUH yang bertugas sebagai kerani di Pejabat Pengurusan Operasi Madinah, mereka diambil bekerja selama dua bulan bagi membantu dalam sektor pentadbiran, perubatan, kebajikan, pengurusan zon dan maktab, sektor media dan pengurusan khidmat pelanggan.
Beliau berkata, ada dalam kalangan mereka telah berkhidmat lebih 20 tahun membantu operasi TH dan setiap tahun, lebih 200 permohonan diterima untuk menjadi PATUH setiap kali tawaran dibuka empat bulan sebelum musim haji.
“Bagi musim haji 1445H/2024 ini, sebanyak 69 PATUH dipilih untuk operasi di Madinah dengan 49 daripadanya membantu dalam sektor kebajikan, manakala selebihnya bahagian perubatan.
“Macam saya sendiri, kali pertama menjadi PATUH membantu TH adalah pada 2013 dengan menjadi pemandu untuk unit media sehinggalah 2019 saya balik semula ke Malaysia disebabkan COVID-19, sebelum kembali ke Madinah pada 2021,” katanya dalam temu bual bersama petugas media di sini.
Majed yang berusia 30-an merupakan anak Kedah, namun lahir dan membesar di sini menyebabkannya mahir selok belok keadaan di Arab Saudi dan fasih berbahasa Arab berbanding bahasa Melayu.
Sementara itu, bagi Shukri Savage Arshad, 51, berasal dari Pattani dan telah 20 tahun berpengalaman menjadi PATUH, menzahirkan rasa teruja setiap kali terpilih membantu TH apabila musim haji.
“Alhamdulillah, saya seronok bekerja dengan Tabung Haji kerana dapat peluang membantu jemaah selain dapat banyak pengetahuan dan ilmu sehingga saya mampu membantu merawat orang kampung setiap kali balik ke Thailand,” katanya yang merupakan PATUH kepada sektor perubatan.
Walaupun menjadi warga Thailand, Shukri dilahirkan serta dibesarkan di Arab Saudi dan hanya balik sekali sekala ke kampung halamannya.
Sementara itu, pakar perubatan kecemasan (Madinah) Dr Reza Murad Qamruddin mengakui kehadiran PATUH banyak membantu petugas kesihatan dalam memberikan khidmat perubatan kepada jemaah setiap kali musim haji.
“Shukri ialah seorang yang memudah cara petugas perubatan dari segi rujukan dengan pihak hospital di Arab Saudi kerana kebanyakan petugas tidak mahir berbahasa Arab, sekali gus menimbulkan sedikit kekangan setiap kali timbul isu melibatkan pesakit jemaah haji Malaysia.
“Jadi, dia akan bertindak sebagai jurubahasa yang sekali gus melancarkan urusan dengan pihak hospital tempatan, saya rasa perkara ini merupakan satu daripada peranan penting Shukri yang sangat membantu kita,” katanya.
Bagi musim haji tahun ini, sebanyak 600 petugas haji termasuk perubatan, kebajikan dan teknologi maklumat ditugaskan oleh TH untuk memastikan kelancaran operasi haji serta kebajikan para jemaah. – Bernama