Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • BK Square Burger: Cita rasa unik di Jalan Datuk Ajibah Abol
  • RENCANA

BK Square Burger: Cita rasa unik di Jalan Datuk Ajibah Abol

Utusan Sarawak 12 hours ago
MENYELERAKAN… BK Square Burger bawa pengalaman burger lain daripada yang lain.


BAYANGKAN petang yang tenang di Kuching, matahari mula berlabuh, jalan mulai sibuk, dan tiba-tiba hidung menangkap bau daging panggang yang menggoda.

Asap tipis berkepul dari sebuah gerai kecil di tepi Jalan Datuk Ajibah Abol, membawa bersama aroma telur lembut dan sos rahsia yang menyelerakan. Di situlah letaknya BK Square Burger, gerai sederhana yang kini mencuri tumpuan ramai.

BK Square Burger beroperasi dari Isnin hingga Sabtu, manakala gerai ditutup pada Ahad. Waktu perniagaan pada Isnin hingga Khamis adalah dari 5.00 petang hingga 9.30 atau 10.00 malam, manakala pada Jumaat dan Sabtu dibuka dari 5.00 petang hingga 10.30 atau 11.00 malam.

Dari luar, ia mungkin tampak sederhana, namun di sebalik papan tanda kecil dan gril panas itu, tersimpan kisah tentang keazaman seorang usahawan tempatan yang mahu membawa sesuatu yang berbeza kepada pencinta burger.

TERBAIK… Sa’audi bersama pelanggannya.

Kelainan Jadi Identiti

Menurut pemilik gerai Sa’audi Seli, idea menghasilkan Pattaya Burger tercetus daripada keinginan untuk menampilkan sesuatu yang lain daripada biasa.

“Ramai jual burger, tapi kami mahu ada sentuhan istimewa sesuatu yang membuatkan orang ingat,” katanya sambil tersenyum.

Berbeza daripada burger biasa, Pattaya Burger disediakan dengan balutan telur lembut yang menutupi keseluruhan roti dan daging.

Setiap gigitan memadukan rasa lemak telur, daging segar, dan sos buatan sendiri yang menjadi rahsia utama keenakan hidangan ini.

Antara menu yang paling digemari ialah Homemade Beef Pattaya Burger, Ippo Pattaya Burger, dan Oblong Beef Pattaya.

Bagi mereka yang mahu sesuatu yang lebih mewah, Ippo Promax Burger berharga RM38.00 pasti memenuhi selera, besar, berisi, dan padat dengan rasa.

TAPAU BURGER… Sa’audi dan isteri bergambar bersama pelanggan yang membawa pulang burger.

Harga Mesra, Pelanggan Pelbagai

Menariknya, harga di gerai ini bermula serendah RM3.00, menjadikannya mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Tidak hairanlah jika pelanggan tetap datang daripada pelbagai golongan pelajar, pekerja, malah keluarga yang ingin menikmati hidangan santai pada waktu malam.

“Alhamdulillah, pelanggan kami datang dari semua bangsa dan usia. Apa yang penting, mereka suka rasa burger kami dan selalu datang lagi,” ujar Sa’audi yang berasal dari Kampung Saai, Daro.

LOGO BK Square Burger Burger.

Dugaan Sebalik Kejayaan

Namun, perjalanan untuk sampai ke tahap hari ini bukanlah mudah dan penuh dengan dugaan. Ketika pembinaan Jambatan Baharu Datuk Amar Juma’ani dijalankan di kawasan Kampung Bintangor, gerai kecil ini terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran yang menguji kesabaran dan ketabahan pemiliknya.

Kerja-kerja pembinaan yang berlarutan menyebabkan suasana di sekitar kawasan itu berubah sama sekali.

Laluan yang sebelum ini mudah dilalui menjadi sempit dan sesak, malah ada ketika ditutup sepenuhnya.

“Ada masa kami terpaksa tutup sebab laluan ditutup sepenuhnya. Bila buka semula pun, pelanggan masih belum ramai sebab ramai yang sangka jalan masih tak boleh dilalui,” katanya sambil mengimbas waktu sukar itu.

Walaupun begitu, semangat untuk terus berniaga tidak pernah padam. Setiap kali keadaan mengizinkan, gerai itu dibuka juga, walaupun hanya untuk beberapa jam sehari.

Perlahan-lahan, pelanggan tetap mula kembali terutamanya mereka yang sudah jatuh cinta dengan rasa unik Pattaya Burger.

“Tapi bila jambatan siap dan dibuka sepenuhnya, sambutan pelanggan kembali luar biasa. Syukur, usaha kami berbaloi. Rasa penat masa tu semua hilang bila tengok pelanggan datang semula,” tambahnya dengan senyuman lega.

Kini, dengan siapnya jambatan baharu itu, laluan menjadi lebih lancar dan mudah diakses. Gerai kecil yang suatu ketika dulu hampir tenggelam dek debu pembinaan kini kembali hidup malah lebih meriah daripada sebelumnya.

MENU Pattaya Burger.

Kualiti Didahulukan

Walaupun harga bahan mentah semakin meningkat, Sa’audi tetap berpegang pada prinsip untuk mengekalkan kualiti.

Katanya, pelanggan datang bukan hanya kerana murah, tetapi kerana rasa dan pengalaman menikmati burger yang istimewa.

Buat masa ini, beliau belum merancang untuk membuka cawangan baharu, namun tidak menolak kemungkinan itu suatu hari nanti.

Fokus utama beliau kini adalah memastikan setiap pelanggan yang datang berpuas hati.

Lebih daripada Sekadar Burger

Pattaya Burger bukan sekadar makanan ia simbol semangat dan kreativiti anak tempatan yang berani mencipta kelainan.

Dari sebuah gerai kecil di tepi jambatan, kini ia menjadi antara lokasi wajib singgah bagi sesiapa yang ingin menikmati burger dengan cita rasa tersendiri.

Apabila malam menjelang dan lampu jalan mula menyala, gerai kecil itu terus berasap, menghidangkan burger satu demi satu. Di sebalik senyuman pelanggan yang menikmati hidangan mereka, jelas terserlah bahawa Pattaya Burger bukan sekadar juadah ia adalah kisah tentang usaha, ketekunan, dan rasa cinta terhadap makanan.

Continue Reading

Previous: Nelayan Muslim Cham kekalkan warisan dan tradisi di sepanjang sungai Tonle Sap, Kemboja
Next: Daging Dendeng Ibu Gayah sesuai dijadikan bekalan buat pengembara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.