
KUALA LUMPUR: Penyanyi Pasya percaya peluang beraksi bersama-sama dengan kumpulan rock legenda Search mampu menjadi pemangkin penting dalam memperluas pengaruh kerjaya solonya, selain membuka ruang untuk memperkenalkan karya-karya beliau kepada khalayak lebih luas.
Menurut Pasya atau nama sebenarnya Faizul Ashraff Fauzi, penglibatannya dalam kumpulan berkenaan memberi peluang untuk beliau mendekati kelompok peminat yang berbeza berbanding pengikut setia kerjaya solonya.
Walaupun bukan vokalis tetap Search, penyanyi berusia 32 tahun itu melihat pengalaman berkongsi pentas dengan kumpulan tersebut sebagai platform terbaik untuk memperkukuh kehadirannya dalam industri muzik tempatan.
“Saya rasa apabila bersama-sama dengan Search akan melonjakkan lagi nama saya kerana ada dalam kalangan peminat saya yang tidak tahu saya terbabit dengan Search. Pada masa sama, ada juga peminat Search yang tidak tahu saya sebenarnya bergerak sebagai artis solo.
“Jadi apabila mereka mengenali saya menerusi Search, mereka mungkin akan tahu siapa saya dan menyemak karya-karya yang pernah saya hasilkan. Mungkin dari situ, mereka akan tahu saya mempunyai kerjaya solo dan seterusnya tertarik untuk mendengar lagu-lagu saya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Di sebalik komitmennya dengan Search, Pasya berkata perjalanan sebagai artis solo kekal aktif dengan beberapa projek rakaman baharu yang sedang diusahakannya.
Beliau berkata landskap muzik semasa banyak mempengaruhi pemilihan karya yang ingin diketengahkan, khususnya apabila lagu berentak balada dan sarat emosi dilihat lebih dekat dengan cita rasa pendengar generasi muda hari ini.
“Macam sekarang, trending lagu-lagu macam balada dan galau senang naik. Jadi, buat masa sekarang kita cubalah mengikut peredaran masa dan kehendak pasaran. Apabila tiba masanya, kita akan keluarkan lagu rock,” katanya.
Pasya berkata pendekatan itu bukan bermakna beliau meninggalkan identiti muzik yang selama ini dekat di hatinya, sebaliknya dilihat sebagai langkah menyesuaikan diri dengan kehendak pasaran tanpa mengabaikan perancangan jangka panjang.
Menurutnya, minat terhadap muzik rock masih utuh dan beliau memiliki pelbagai material lagu dalam genre tersebut yang menunggu masa sesuai untuk diketengahkan kepada pendengar.
“Saya mempunyai banyak material berkonsepkan rock yang masih tersimpan, namun kebanyakan penerbit dan syarikat rakaman ketika ini lebih cenderung memilih lagu yang mempunyai potensi komersial lebih tinggi. Saya harap satu hari nanti saya dapat keluarkan lagu ciptaan saya sendiri,” katanya.
Beliau berkata akan terus aktif menghasilkan karya baharu bagi mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik serta mengekalkan relevansi dalam kalangan pendengar pelbagai generasi. – Bernama