
KUCHING: Pasukan di bawah Persatuan Kumpulan Estetik Gimnastik Negeri Sarawak (SAGGA) kini giat menjalani persiapan menjelang Siri Akhir Piala Dunia MAGGA-IFAGG 2025: Piala Dato’ Malek yang dijadualkan berlangsung pada 25 Oktober ini di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Sebagai persiapan terakhir ke kejohanan berprestij itu, SAGGA bersama jurulatih, hakim dan ibu bapa hari ini berkumpul di Kuching bagi memberikan sokongan moral kepada para gimnas muda yang akan membawa cabaran Sarawak.
Kontinjen Sarawak diketuai oleh Pengurus Pasukan, Aidwina Aidan Wing, bersama Ong Shian Lin (wakil pasukan SJKC Sungai Apong) dan Alicia Lee Yan Ting (wakil pasukan Track & Dance Studio).
Barisan hakim pula terdiri daripada Shaleen Tay Hui Shing, Lim Yi Jun, dan Joan Chai Rou Yan.
Empat pasukan akan mewakili Sarawak di bawah panji SAGGA, iaitu POWER BEAT dan LITTLE BEAT dari SJKC Sungai Apong, serta RED STORM dan THE GIFTED BUNNIES dari Track & Dance Studio.
Pasukan dari Track & Dance Studio menampilkan gimnas yang berasal dari pelbagai sekolah di Kuching termasuk SJKC Chung Hua No. 2, SJKC Chung Hua No. 3, SMK Sungai Maong, Lodge National Secondary School, Borneo International School, St. Joseph’s Private School, dan Sunny Hill Primary School.
Menurut SAGGA, penyertaan ke kejohanan kali ini merupakan satu lagi pencapaian penting bagi Sarawak dalam memperkukuh kehadirannya dalam arena Gimnastik Kumpulan Estetik (Aesthetic Group Gymnastics – AGG) di peringkat kebangsaan.
“Penyertaan ini membuktikan bahawa gimnas Sarawak bukan sahaja memiliki bakat dan disiplin tinggi, malah mempunyai semangat juang yang kental untuk mengharumkan nama negeri.
“Kami berdiri teguh di belakang para gimnas dengan semangat perjuangan yang tidak pernah luntur ‘Agi Idup Agi Ngelaban!’ katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Ditubuhkan pada 2019, SAGGA komited memperkembangkan sukan AGG di seluruh negeri melalui program pembangunan akar umbi, latihan jurulatih bertauliah dan pelaksanaan Program Sekolah AGG.
SAGGA bertujuan membuka peluang kepada generasi muda Sarawak untuk melibatkan diri dalam sukan berasaskan seni dan nilai disiplin tinggi.