

PASUKAN K Troopers dari Kelab Paintball Mambong (KPM) meraikan kejayaan meraih tempat kedua dalam Division 4 pada 2025 Kejohanan NXL Eropah di Dreux, Perancis. Kejohanan berprestij itu menghimpunkan 200 pasukan dari 30 negara dengan Malaysia menghantar tujuh pasukan dalam pelbagai divisyen.
PERANCIS: Malaysia kembali mencuri perhatian di pentas antarabangsa apabila Kelab Paintball Mambong (KPM) berjaya melakar sejarah manis di Kejohanan NXL Eropah 2025 berlangsung di Dreux, Perancis, dari 27 hingga 31 Ogos lalu.
Menurut kenyataan daripada KPM, Pasukan K Troopers dibawah naungannya, menamatkan saingan selaku naib juara Division 4 X-Ball selepas menewaskan beberapa pasukan pilihan sepanjang kejohanan berprestij itu.
Katanya, ia merupakan pencapaian luar biasa buat pasukan muda dari Sarawak yang pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Eropah untuk kejohanan paintball bertaraf dunia.
Lebih membanggakan, kejohanan yang menghimpunkan lebih 200 pasukan dari 30 negara ini turut menyaksikan tujuh pasukan Malaysia turun bersaing dalam pelbagai kategori.
Selain K Troopers, antara pasukan negara yang tampil ialah KPM dalam Division 3 X-Ball, Unknown (Division 4 X-Ball), Thunderstorm (WNXL 3v3), RASKAL Avengers, Sekito (kedua-duanya Amateur 3v3) serta pasukan wanita Malaysia dalam kategori UPBF Women (Open) X-Ball.
Pengurus yang juga Ketua Pasukan Malaysia, Muhammad Morsidi Abdullah, jelas terharu dengan pencapaian bersejarah itu yang disifatkannya sebagai hadiah sempena Hari Kebangsaan ke-68.
“Kejayaan ini adalah bukti pengorbanan dan usaha gigih pasukan. Kami jalani persiapan intensif termasuk latihan strategik dan pengasahan kemahiran bagi memastikan mampu memberikan saingan hebat sebelum berangkat ke Perancis,” katanya.
Beliau turut mendedahkan faktor cuaca sejuk di Perancis menjadi cabaran terbesar buat pemain. Hujan renyai dan angin kencang kerap kali menjejaskan fokus serta stamina pasukan, namun semangat juang kental K Troopers akhirnya membolehkan mereka mara sehingga ke pentas akhir.
“Kami harap pencapaian ini dapat menjadi inspirasi buat anak muda Malaysia untuk lebih aktif dalam sukan paintball serta membuka mata pihak berkuasa dan penaja terhadap potensi besar pasukan tempatan di peringkat dunia,” ujarnya lagi.
KPM yang berpangkalan di Mambong, Padawan bukan sahaja kelab paintball pertama di Sarawak yang memiliki lesen rasmi daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia, malah kini membuktikan bahawa pasukan dari Borneo juga mampu mengibarkan Jalur Gemilang di kejohanan antarabangsa.