SIBU: Penting untuk membentuk pasukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang kuat di Sibu untuk melaksanakan manifesto Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12), termasuk manifesto GPS.
Pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek Joseph Chieng berkata, pembentukan pasukan yang kuat ini juga sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka pada tahun hadapan.
“Sebab itu penting untuk kita membentuk pasukan GPS di Sibu untuk melaksanakan manifesto Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12), termasuk manifesto GPS.
“Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) yang mempunyai dua wakil rakyat akan bekerjasama dengan dua lagi wakil rakyat GPS di sini untuk pembangunan Sibu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan ‘walk-about’ di Pasar Sentral Sibu bersama pemenang kerusi DUN Pelawan Michael Tiang semalam, bagi mengucapkan terima kasih kepada pengundi.
Katanya lagi, kemenangan GPS di Bukit Assek dan Pelawan adalah satu mesej yang kuat daripada pengundi masyarakat Cina bahawa mereka kembali menyokong Kerajaan Negeri.
Chieng berkata, dengan sokongan ini, beliau dapat menyampaikan suara rakyat di Bukit Assek kepada Kerajaan Negeri.
“Pengundi Cina telah memberi mandat terutama di kawasan bandar, yang mana kita memerlukan sokongan daripada mereka untuk melaksanakan pembangunan di Sibu.
“Kawasan Sibu terutama di Bukit Assek dan Pelawan adalah majoriti pengundi Cina dan kita perlu berkongsi sumber pembangunan terutama di kawasan bandar,” katanya.
Sementara itu, Chieng berjaya mengalahkan penyandang 20 tahun kerusi Bukit Assek, Irene Chang dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) setelah memperoleh majoriti 874 undi.
Chieng meraih 4,684 undi diikuti Chang (3,810), PBK Pricillia Lau (2,598), PSB Ting Kee Nguan (1,790), Bebas Hii Tiong Huat (313) dan Aspirasi Jess Lau (209).
Oleh NURZILLA MOHAMAD