
Thiago Silva (nombor 3) dan Thiago Santos meraikan kemenangan Fluminense. – Foto AFP
ORLANDO, Amerika Syarikat: Pemain gantian Hercules menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-70 ketika Fluminense dari Brazil menewaskan Al-Hilal dari Arab Saudi 2-1 awal pagi tadi untuk mara ke separuh akhir Piala Dunia Kelab.
Jaringan cantik hasil rembatan kaki kiri oleh Matheus Martinelli meletakkan kelab Rio itu di hadapan pada minit ke-40, tetapi penyerang Al-Hilal dari Brazil, Marcos Leonardo menyamakan kedudukan enam minit selepas rehat sebelum Hercules mencuri tumpuan, menggembirakan sebahagian besar daripada 43,091 penonton di stadium.
Al-Hilal sebelum ini mencipta kejutan terbesar kejohanan apabila menewaskan Manchester City 4-3 untuk mara ke suku akhir dan pasukan kendalian Simone Inzaghi itu berjuang habis-habisan hingga tamat permainan dalam usaha meneruskan kempen mereka.
Mereka tersingkir daripada kejohanan ini tanpa kalah di peringkat kumpulan, termasuk seri dengan Real Madrid sekali gus meninggalkan kesan di pentas dunia.
Sebelum sepak mula, satu minit bertafakur untuk memperingati penyerang Liverpool dan Portugal, Diogo Jota serta adiknya Andre Silva, yang meninggal dunia pada awal pagi Khamis selepas kereta mereka terbabas di lebuh raya di Sepanyol dan terbakar.
Skuad Al-Hilal menampilkan dua rakan sepasukan Jota di Portugal, Ruben Neves dan Joao Cancelo.
Babak pertama berlangsung sengit dan taktikal dengan hanya beberapa peluang tercipta, sebelum Martinelli membuka jaringan apabila dia menerima hantaran daripada Gabriel Fuentes di dalam kotak penalti lalu memusingkan badan untuk mencipta ruang dan melepaskan rembatan kaki kiri yang kencang menewaskan Yassine Bounou.
Selepas ketinggalan satu gol ketika rehat, Al-Hilal bermula garang pada babak kedua dan berjaya menyamakan kedudukan apabila Kalidou Koulibaly menanduk bola hasil sepakan penjuru Neves ke arah Leonardo yang mudah menolak masuk.
Namun keputusan muktamad terhasil 20 minit sebelum tamat apabila Hercules, yang masuk sejurus selepas rehat, melihat percubaan jauhnya dihalang tetapi bola muntah diumpan semula oleh Samuel kepadanya, yang kemudian meluru ke dalam kotak penalti sebelum menewaskan Bounou.
“Kami tidak mempunyai banyak peluang tetapi kami memanfaatkan setiap peluang yang ada, seluruh pasukan bekerja keras dan mempamerkan komitmen,” kata jurulatih Fluminense, Renato Gaucho.
“Penyokong kami di Amerika Syarikat dan di Brazil, patut berbangga dan saya minta mereka menyarung jersi, di pusat beli-belah, di jalan, di pantai, di mana sahaja, pakai jersi itu – mereka semua patut berbangga memakainya,” katanya.
Jurulatih Fluminense itu turut memuji persembahan pertahanan tengah veteran berusia 40 tahun, Thiago Silva yang memastikan kelab Brazil mampu menahan asakan Al-Hilal pada babak kedua.
“Thiago Silva amat besar peranannya untuk kami, saya pernah bekerjasama dengannya 15 tahun lalu, dia umpama jurulatih di tengah padang, amat membantu dan menyuntik ketenangan serta pengalaman kepada pemain lain.
“Dia kapten dan pemimpin kami dan dalam perlawanan sengit seperti ini menentang kelab besar, amat penting ada pemain sepertinya,” katanya.
Jurulatih Al-Hilal, Inzaghi berkata pasukannya agak malang untuk berakhir dengan kekalahan.
“Ia Piala Dunia Kelab yang bagus untuk kami tetapi sudah tentu kami meninggalkan kejohanan ini dengan sedikit rasa pahit kerana selepas apa yang berlaku di separuh masa kedua, kami sebenarnya layak mendapat lebih,” katanya.
“Ia perlawanan yang sengit, diputuskan oleh detik-detik tertentu, seperti biasa dalam bola sepak. Fluminense satu pasukan yang amat teratur dan sedang mengharungi kejohanan yang cemerlang,” tegasnya. – AFP