
MIRI: Tindakan pantas Pasukan Bravo dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong berjaya menyelamatkan seekor kucing yang terperangkap di atas siling sebuah rumah di Lot 3960, Lorong Desa Senadin 2C, awal pagi tadi.
Menurut kenyataan BBP Lutong, Pusat Kawalan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 11.10 malam.
Susulan itu, sebuah jentera FRT Scania dengan kekuatan seorang pegawai penyelia, seorang pemandu dan tiga anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
Katanya, operasi diketuai oleh Penyelia PBK I (TBBK I) Iskandar dan jentera tiba di lokasi pada 11.20 malam.

“Hasil penilaian awal mendapati benar terdapat seekor kucing terperangkap di ruang siling rumah pelapor.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat dengan berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan kepada haiwan tersebut,” katanya.
Operasi berjaya dikawal dan diselesaikan sepenuhnya pada 11.40 malam.
Tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan sepanjang operasi dan keadaan disahkan selamat.
Operasi ini membuktikan komitmen berterusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam memberikan khidmat khas kepada komuniti, termasuk melibatkan keselamatan haiwan.
Oleh Adum Liu