

TERIMA KASIH… Pasukan Bomba Sukarela komuniti Lanang bekerjasama dengan pasukan Parti Demokratik Progresif (PDP) Cawangan Sibu Jaya bagi mengagihkan bekalan air kepada penduduk di kawasan perumahan Eco Garden, Sibu Jaya.
SIBU: Pasukan Bomba Sukarela komuniti Lanang semalam bekerjasama dengan pasukan Parti Demokratik Progresif (PDP) Cawangan Sibu Jaya bagi mengagihkan bekalan air kepada penduduk di kawasan perumahan Eco Garden, Sibu Jaya.
Ketua Pasukan Bomba Sukarela Lanang, Iing Shii Ngie, berkata penduduk tempatan telah mengadu mengalami gangguan bekalan air sejak kebelakangan ini, sekali gus menjejaskan aktiviti harian mereka.
“Setelah mengetahui bahawa pasukan khidmat Dato Sri Tiong King Sing sebelum ini pernah mengagihkan air, kami mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak beliau dan menawarkan kerjasama,” katanya.

Penghantaran bekalan air berkenaan merupakan inisiatif khas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing, sebagai langkah meringankan beban penduduk yang terjejas.
Menurut beliau, seramai lapan anggota pasukannya dihantar ke lokasi bagi membantu pengagihan, manakala pasukan PDP Cawangan Sibu Jaya menyediakan lori tangki air.
Bagi memastikan proses pengagihan berjalan lancar, penduduk turut bersedia dengan tong dan bekas air untuk menakung air sebaik lori tangki tiba.
Aktiviti pengagihan air itu berlangsung dari 5.00 petang hingga 7.00 malam dan berjalan dengan lancar.
Oleh Tarani Lanting