SKUAD Kuching City FC bersedia untuk kembali beraksi selepas menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu meskipun mengakui jadual padat yang perlu ditempuh.
Pindaan jadual Liga Malaysia 2021 telah dilakukan selepas lima perlawanan Liga Super membabitkan Kedah Darul Aman FC dan tujuh perlawanan Liga Premier melibatkan Kuching City FC terpaksa ditunda susulan terdapat kes positif COVID-19 dalam pasukan tersebut.
Pengendali Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim mengharapkan barisan pemain akan terus komited untuk mengharungi perlawanan yang ada meskipun sedar tahap kecergasan sedikit terkesan.
Tetapi katanya mengambil kira perlawanan yang akan ditempuh berlangsung di laman sendiri iaitu Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching diharap dapat membantu mengurangkan kepenatan pemain.
“Pasukan akan lebih berhati-hati dalam menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kalangan pemain serta pegawai selepas apa terjadi.
“Kami berharap insiden sama tidak akan berulang lagi bagi memastikan kelancaran perlawanan Liga Malaysia serta mampu ditamatkan semua perlawanan,” katanya.
Mengenai jadual baharu perlawanan, Irfan berkata biarpun jarak aksi yang akan diharungi nanti agak rapat dengan hanya berehat selama tiga ke empat hari namun mereka akan lalui semua aksi di laman sendiri.
“Jadi saya harap situasi ini sedikit sebanyak boleh membantu pasukan dalam mengharungi 10 baki perlawanan serta memperbaiki kedudukan semasa Kuching City FC di Liga Premier,” ujarnya.
Sementara itu, ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak, beliau tetap berterima kasih kepada Malaysian Football League (MFL) atas usaha untuk membantu pasukan yang terlibat walaupun rayuan yang dibuat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar hanya pemain positif sahaja dikuarantin ditolak.
Untuk itu, beliau dan barisan pemain akan terus bekerja keras untuk memastikan tiada lagi kes sebegini berlaku pada masa hadapan selain akan lebih tegas menjaga SOP sepanjang Liga Malaysia berlangsung.
“Mengenai jadual perlawanan, saya akui memang tiada pilihan buat Kedah selain mengharungi jadual yang telah disusun MFL biarpun nampak ketat.
“Namun saya faham tiada pilihan lain buat MFL dan harap semua pemain terbaik saya dapat diturunkan dalam tiap perlawanan yang kita harungi,” tambahnya.
Berdasarkan pindaan terbaharu Jadual Liga Malaysia 2021, perlawanan Liga Super ke-18 bermula pada 13 Ogos, manakala perlawanan Liga Super ke-19 sehingga 22, ia akan berlangsung bermula 20 Ogos sehingga 12 September 2021.
Sementara bagi Liga Premier, aksi ke-18 berlangsung pada 15 Ogos 2021 dan pindaan berlaku pada perlawanan ke-19 sehingga 22 di mana ia akan berlangsung pada 20 Ogos 2021 sehingga 18 September 2021.
Oleh ADI SAFARMAN