
HARI Raya bakal tiba beberapa hari lagi. Pastinya perasaan untuk balik ke kampung bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga sudah tidak dapat dibendung terutama mereka yang berada jauh di perantauan, lebih-lebih lagi yang perlu menaiki kapal terbang.
Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu kita ambil perhatian ketika mengemas pakaian dan barangan untuk dibawa pulang. Hal ini penting kerana kita tidak mahu perjalanan yang ceria dan gembira tiba-tiba dilanda masalah atau gangguan yang tidak diingini berlaku.
Selain perlu memastikan saiz dan had berat bagasi dipatuhi, tidak kira bagasi bimbit atau bagasi yang akan dimasukkan ke kargo, para penumpang kapal terbang perlu mengambil maklum akan ketetapan oleh syarikat penerbangan yang berkaitan berkenaan risiko membawa bank kuasa (power bank).
Kita sememangnya maklum, keperluan bank kuasa bagi mereka yang kerap menggunakan peranti elektronik adalah sangat penting. Bagi mereka, bank kuasa seumpama tong oksigen bagi membekalkan udara kepada manusia yang sedang dalam keadaan nazak.

Hal ini kerana peranti elektronik yang mereka gunakan seperti telefon bimbit atau tablet sangat ‘lapar’ akan tenaga elektrik kerana digunakan secara berterusan untuk tempoh yang lama, sama ada melakukan tugasan atau berhibur. Dengan ada bank kuasa, mereka boleh mengecas peranti tersebut pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Namun, bank kuasa mengandungi bateri lithium-ion atau lithium-polymer yang mampu menyimpan tenaga elektrik ini boleh mendatangkan risiko jika tidak dikendalikan dengan betul, terutamanya dalam persekitaran yang mudah mengalami perubahan tekanan atau suhu secara mendadak.
Pada 2025 ini, beberapa insiden melibatkan bank kuasa telah dilaporkan berlaku semasa dalam penerbangan. Insiden yang mencetuskan kebimbangan ini berlaku pada 28 Januari 2025, melibatkan sebuah pesawat Airbus A321 di Lapangan Terbang Gimhae, Korea Selatan.

Pesawat tersebut dalam proses untuk berlepas ke Hong Kong tiba-tiba mengalami kebakaran di bahagian belakang sebelum berlepas. Kesemua 176 penumpang dan kru penerbangan berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan. Siasatan awal menunjukkan bahawa kebakaran tersebut berkemungkinan besar berpunca daripada bank kuasa yang mengalami ‘thermal runaway’ akibat pemanasan melampau.
Selain itu, insiden yang berlaku dalam penerbangan Batik Air dari Johor Bahru ke Bangkok pada 24 Februari 2025 pula berdepan detik cemas apabila bank kuasa yang disimpan dalam ruang penyimpanan atas kepala tiba-tiba terbakar dan mengeluarkan asap tebal.
Kru kabin segera menggunakan alat pemadam khas untuk mengawal kebakaran dan tindakan ini dapat menyelamatkan kesemua yang berada dalam pesawat tanpa kecederaan.
Rentetan kejadian ini, syarikat penerbangan di Malaysia seperti Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air mengambil langkah proaktif untuk menetapkan peraturan yang lebih ketat berkenaan penggunaan dan penyimpanan bank kuasa untuk dibawa dalam pesawat.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut mengeluarkan garis panduan keselamatan terkini bertarikh 4 Mac 2025. Garis panduan ini menegaskan keperluan bagi pengendali syarikat penerbangan untuk memastikan penumpang sedar akan risiko yang berkaitan dengan peranti elektronik mudah alih (PED) termasuk penumpang dapat mengendalikan peranti tersebut dengan betul serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan berkenaan pengangkutan bateri lithium-ion dalam perjalanan udara.
Penumpang perlu merujuk syarikat penerbangan masing-masing akan perincian peraturan yang ditetapkan namun secara umumnya had kapasiti maksimum bank kuasa yang dibenarkan untuk dibawa dalam kabin ialah 20,000mAh. Jika lebih daripada kapasiti ini, penumpang perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak syarikat penerbangan semasa proses daftar masuk.
Setiap penumpang hanya dibenarkan membawa maksimum dua bank kuasa yang dibawa di tangan dan tidak boleh disimpan dalam bagasi sama ada di dalam laci simpanan atas atau di ruang kargo. Langkah ini bertujuan untuk membolehkan penumpang mengesan sebarang tanda awal masalah dengan cepat.
Walaupun bank kuasa dipegang di tangan, penggunaan semasa dalam penerbangan adalah dilarang sama sekali bagi mengelak masalah seperti pemanasan melampau atau kerosakan yang boleh mencetuskan risiko keselamatan.
Bagi memastikan langkah keselamatan ini berjalan dengan lancar, terdapat beberapa cadangan yang boleh diambil oleh pihak lapangan terbang dan penumpang.
Pihak lapangan terbang boleh menyediakan kaunter khas di kawasan daftar masuk untuk pemeriksaan bank kuasa. Hal ini akan memudahkan penumpang mendapatkan maklumat dan memastikan bank kuasa yang dibawa mematuhi peraturan keselamatan.
Selain itu, risalah keselamatan bercetak atau secara elektronik yang menerangkan peraturan membawa bank kuasa dalam penerbangan boleh diedarkan di kaunter daftar masuk, kawasan menunggu atau diberikan kepada penumpang semasa pembelian tiket.
Alat pemadam api khas juga perlu disediakan untuk kebakaran bateri lithium-ion di kawasan menunggu dan dalam pesawat. Langkah ini penting untuk memastikan sebarang insiden kebakaran dapat dikawal dengan segera.
Penumpang dinasihatkan untuk menyimpan bank kuasa di tempat yang mudah diakses seperti poket jaket atau beg kecil. Perkara ini akan memudahkan pemeriksaan keselamatan dan membolehkan penumpang memantau keadaan bank kuasa sepanjang perjalanan.
Oleh sebab itu, penumpang tidak perlu menyimpan bank kuasa dalam bagasi kerana ia perlu dibongkar semula untuk pemeriksaan keselamatan. Jika situasi ini berlaku, mungkin melambatkan lagi perjalanan yang dijangka sesak pada ambang Hari Raya.
Selain itu, penumpang perlu mengelakkan membawa bank kuasa yang melebihi kapasiti yang dibenarkan tanpa kelulusan khas. Mereka juga perlu merujuk syarikat penerbangan untuk mengetahui had kapasiti yang dibenarkan.
Sepanjang penerbangan, penumpang disarankan untuk memeriksa suhu bank kuasa secara berkala bagi mengesan sebarang tanda pemanasan berlebihan. Jika bank kuasa terasa panas atau menunjukkan tanda-tanda tidak normal, segera laporkan kepada kru penerbangan.
Namun apa yang lebih diperlukan semasa proses pemeriksaan melibatkan bank kuasa ini, kerjasama dan sikap berbudi bahasa antara kakitangan syarikat penerbangan dengan penumpang. Hal ini pasti akan dapat melancarkan urusan perjalanan menuju ke destinasi masing-masing untuk berhari raya yang penuh bermakna ini.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.