
KUCHING: Usaha mewujudkan ekosistem pekerjaan yang adil, progresif dan inklusif memerlukan kerjasama menyeluruh daripada pelbagai pihak termasuk majikan, tenaga kerja, institusi latihan serta komuniti setempat.
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, sinergi ini penting dalam memastikan pelaksanaan dasar serta perlindungan hak pekerja dapat dilaksanakan secara menyeluruh, khususnya di Sarawak.
“Selepas pindaan terhadap Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) mula dikuatkuasakan pada 1 Mei 2025, JTK Sarawak terus tampil proaktif dengan menganjurkan pelbagai program advokasi dan penerangan agar para pekerja serta majikan cakna akan perubahan penting yang diperkenalkan.
“Ini termasuk kemudahan cuti materniti dan paterniti, pengurangan waktu kerja serta aspek kebajikan lain yang ditambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia dan Pelepasan Konvoi Program Tenaga Kerja Ke Kawasan Luar Bandar (LGRAP) 6.0 di Bangunan Sultan Iskandar, hari ini.
Tambahnya, JTK Sarawak turut memainkan peranan penting sebagai orang tengah dalam menyelesaikan pertikaian antara pekerja dan majikan secara beretika dan adil bagi mengekalkan suasana harmoni di tempat kerja.
Mengulas mengenai pelaksanaan LGRAP 6.0, beliau menyifatkan program ini sebagai platform yang efektif dalam menyampaikan maklumat berkaitan undang-undang buruh dan perkhidmatan kementerian terus kepada masyarakat luar bandar.
“Inisiatif ini jelas membuktikan komitmen JTK Sarawak untuk merakyatkan perkhidmatan kerajaan melalui pendekatan turun padang atau ‘outreach’.
“Saya yakin dengan penganjuran aktiviti seperti ceramah, kaunter nasihat serta pameran pendidikan, ia mampu meningkatkan kesedaran rakyat terhadap hak mereka sebagai pekerja yang dilindungi undang-undang,” ujarnya.
Konvoi LGRAP 6.0 melibatkan 32 kenderaan pacuan empat roda yang akan menjelajah dari Kuching hingga ke Limbang bagi menyampaikan maklumat dan khidmat secara langsung kepada penduduk luar bandar.
Oleh Amanda L.