SIBU: Kerajaan Sarawak komited memastikan semua pelajar di negeri ini mendapat manfaat daripada dasar pendidikan yang akan dilaksanakan.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau berkata, pelbagai program pendidikan telah dilaksanakan untuk memastikan generasi akan datang mendapat pendidikan terbaik.
Menurutnya, kejayaan pelaksanaan dasar-dasar tersebut bergantung kepada kestabilan politik yang sering ditekankan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kestabilan politik ini memerlukan sokongan dan perpaduan daripada semua pihak agar dasar-dasar yang baik ini dapat dilaksanakan demi masa depan anak-anak kita.
“Semoga mereka dapat menikmati masa depan yang lebih cerah,” katanya dalam ucapannya pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Ukar, Sg. Tutus Batang Igan, di sini, hari ini.
Lau berkata, sejak 2016, kerajaan Sarawak telah melancarkan Program Dua Bahasa (Dual Language Program) yang dilaksanakan di semua sekolah rendah di Sarawak.
“Di dalam program ini, subjek seperti Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris. Kerajaan Sarawak juga telah mengumumkan bahawa dasar ini akan diperluaskan ke sekolah menengah, meliputi subjek Matematik, Sains, Kimia, dan Fizik,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Majlis Daerah Sibu (MDLBS).
Selain itu, kerajaan Sarawak juga akan melaksanakan Penilaian Standard DLP, yang akan bermula pada 2025 untuk pelajar Tahun 6 dan pada 2028 dan pelajar Tingkatan 3.
“Saya melihat ini sebagai satu langkah yang sangat baik dalam meningkatkan mutu pendidikan dan memberi peluang kepada anak-anak kita untuk berkembang dalam bidang sains yang sangat penting untuk masa depan industri Sarawak,” tambahnya.
Namun begitu, Lau menyatakan kebimbangannya mengenai beberapa komen yang mengatakan Sarawak mengabaikan bahasa Malaysia demi mengutamakan bahasa Inggeris, yang menurutnya tidak benar.
Lau menegaskan bahawa Sarawak tidak pernah menafikan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara.
“Saya bersetuju dengan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee, yang baru-baru ini menyatakan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu, terutamanya dalam bidang sains dan matematik.
“Penggunaan bahasa Inggeris ini bukanlah bertujuan untuk menghalang perpaduan antara kaum, tetapi untuk memastikan anak-anak kita mendapat manfaat sepenuhnya daripada sistem pendidikan kita dan dapat mencapai kejayaan lebih tinggi,” tegasnya.
Oleh Tarani Lanting