SIBU: Program Vaksinasi Covid-19 bagi orang yang berkeperluan khas diharap dapat dijalankan di bahagian-bahagian lain negeri ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia bagi memastikan mereka tidak terpinggir daripada menerima suntikan vaksin tersebut.
“Dalam jadual vaksinasi, selain individu atau warga emas berada di institusi kebajikan seperti Rumah Sri Kenangan dan pusat jagaan, orang berkeperluan khas yang tidak berada di dalam institusi kebajikan atau pusat jagaan perlu diberikan suntikan vaksin,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan proses pemberian vaksin di Pusat Agape Sibu semalam.
Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, inisiatif dijalankan oleh Pusat Agape Sibu disokong oleh Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu dan Hospital Sibu menjalankan Program Vaksinasi Covid-19 di Pusat Agape untuk orang berkeperluan khas adalah satu kemudahan yang sangat baik.
“Pusat Agape dengan bantuan persatuan-persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) mengumpulkan orang berkeperluan khas untuk datang ke pusat ini, dimana tempat ini tidak asing bagi mereka.
“Mereka datang ke sini diberikan suntikan vaksin Covid-19, begitu juga ibu bapa mereka yang masih belum menerimanya, turut diberikan suntikan. Saya telah difahamkan jumlah yang disasarkan dalam tempoh tiga hari ini ialah seramai 750 orang,” ujarnya.
Katanya, selain orang berkeperluan khas, mereka juga memohon kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak dan jawatankuasa yang bertanggungjawab terhadap program vaksinasi supaya memberikan peluang kepada guru, pendidik dan pengasuh taska dan tadika swasta.
“Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, taska dan tadika swasta diberikan kebenaran beroperasi untuk memberikan perkhidmatan menjaga anak-anak petugas barisan hadapan,” ujarnya sambil memberitahu terdapat 125 tadika dan 91 taska diberikan kebenaran beroperasi.
Sementara itu, Temenggong Datuk Vincent Lau Lee Ming memberitahu, projek pembinaan bangunan latihan vokasional bagi orang berkeperluan khas berhampiran Pusat Agape Sibu menelan kos berjumlah RM13 juta kini telah siap sebanyak 99 peratus.
“Kini hanya menunggu kelulusan Permit Menduduki (OP),” jelasnya.
Turut hadir ialah Temenggong Datuk Vincent Lau Lee Ming, Pamanca Datuk Jason Tai, Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun, Pengerusi Persatuan Untuk Kanak-Kanak Istimewa Sibu Datuk Janet Lau dan Setiausaha Persatuan Untuk Kanak-Kanak Istimewa Sibu Dr Toh Teck Hock.
Oleh AKUN GIMAN