SIMANGGANG: Dalam memastikan penduduk terus mendapatkan maklumat dan arahan sahih berkaitan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Ke 3, Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Asree Wee turun padang bersama Unit Bergerak Jabatan Penerangan Daerah Sri Aman di beberapa kawasan tumpuan untuk melakukan hebahan umum, Info On Wheels (IOW).
Beliau yang turut ditemani timbalannya, Hamdan Katang dan anggota Polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sri Aman mengingatkan masyarakat agar terus kekal duduk di rumah dan memanfaatkan sepenuhnya masa bersama keluarga.
Beliau antara lain turut mengingatkan agar ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab dan bertegas melarang anak anak mereka terutama di kalangan remaja, melepak atau membonceng motosikal tanpa tujuan yang jelas dan munasabah.
“Biar kita menangis sekarang, jangan kita meratapi di kemudian hari kerana kesilapan kita pada hari ini.
“Masyarakat perlu sedar bahawa bila dihadapkan ke mahkamah bermakna, secara tidak langsung masa depan anak anak sebagai penjawat awam juga turut akan terjejas,” katanya.
Fokus tajuk hebahan juga kata Ashree, menyentuh tentang inisiatif kerajaan melalui Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Khas Sarawakku Sayang dengan mengingatkan penduduk untuk terus mematuhi jarak sosial dan menggunakan topeng muka dan mulut jika berurusan di pasar raya dan agensi perbankan.
Antara kawasan terlibat adalah Kampung Hilir Sri Aman, Kampung Tengah, Kampung Hulu, Kampung Muhibah dan kawasan perumahan rakyat Fasa 1 dan 2.
Selain itu, beliau turut memaklumkan mulai 15 April yang lalu iaitu memasuki fasa ketiga PKP yang dijadualkan berakhir 28 April depan, tiada lagi kompaun untuk sesiapa yang ditahan kerana melanggar PKP.
“Mereka yang ditangkap akan terus direman dan dikenakan tindakan mahkamah,” ujarnya.
Justeru kata, Ashree fasa ketiga PKP adalah tempoh sangat kritikal buat rakyat Malaysia dalam menentukan usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 ini berjaya ataupun sebaliknya.