MATU: Ahli parti tempatan telah dinasihati untuk bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Dalam membuat nasihat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya, berkata mereka harus bersiap mulai sekarang.
“Semua ahli parti mulai sekarang perlu bersiap sedia untuk memastikan Gabungan Parti Sarawak(GPS) terus kuat dan terus mantap dalam PRN akan datang, dan seterusnya mendapat mandat yang lebih besar daripada rakyat kepada kerajaan pimpinan YAB Ketua Menteri kita sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Kepimpinan Komuniti N.44 Jemoreng yang telah diadakan di Dewan Masyarakat Pergau, Matu pada 24 Ogos lalu.
Tambahnya, mereka mahu Negeri Sarawak untuk kekal stabil dan terus mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi dan kuat daripada rakyat.
“Senario stabil itu boleh mengelakkan pergolakan politik. Sebagaimana kita semua maklum kepimpinan YAB Ketua Menteri amat teserlah selepas mengambil alih tugas sebagai Ketua Menteri di mana hampir setiap hari turun padang ke seluruh pelusuk Negeri Sarawak untuk menyantuni rakyat atas dasar keperihatinan dan tanggungjawab,” tambahnya lagi.
Dr Juanda menyatakan bahawa GPS terus menjaga setiap kawasan dan memberi perhatian kepada rakyat tidak mengira agama, bangsa, kaum dan malahan fahaman politik.
“Bukan sesuatu yang mudah untuk membantu orang yang tidak suka dengan kita, namun rasa tanggungjawab kepada rakyat, semua rakyat dibantu contohnya melalui BKSS (Bantuan Khas Sarawakku Sayang) pada waktu ini,” kata beliua lagi.
Dr Juanda yang juga merupakan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jemoreng, justeru menganggap seminar itu sebagai bertepatan dengan hasrat berkenaan.
“Terima kasih kepada Pegawai Tadbir Khas Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Datu Takun Sunggah yang memberi taklimat pada program ini dan semua yang hadir pada seminar ini. Ia adalah bagi memberi pendedahan kepada ahli parti sebagai persediaan menghadapi PRN Sarawak yang akan datang,” ujarnya lagi.
Oleh HENRY B SIYU