PETRA JAYA: Mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merupakan langkah penting bagi memastikan kebajikan keluarga waris sentiasa terjaga.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, kerjasama antara kementeriannya dan Perkeso bukanlah perkara baharu, namun usaha tersebut kini dipergiatkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai manfaat caruman Perkeso.
“Ramai di antara kita mungkin tidak menyedari kepentingan mencarum dengan Perkeso.
“Jika berlaku kematian atau musibah, keluarga waris masih dapat menerima manfaat daripada caruman tersebut.
“Bayaran khairat sebanyak RM3,000, sebagai contoh, dapat digunakan untuk menguruskan hal berkaitan kematian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas majlis penyerahan Kotak Prihatin Perkeso kepada keluarga arwah Nurul Asikin Lan di Perumahan Darul Hana di sini, hari ini.
Turut hadir bagi menyempurnakan penyerahan tersebut ialah Pengarah PERKESO Sarawak, Tan Phang Chia.
Dalam pada itu, Nancy turut memuji pendekatan proaktif Perkeso yang menggunakan pelbagai kaedah, termasuk memanfaatkan media sosial, untuk mengenal pasti pencarum dan memastikan keluarga mereka menerima hak yang sewajarnya.
“Selain bayaran khairat, Perkeso juga menyediakan caruman sebanyak RM608 (jumlah ini berdasarkan kiraan Perkeso terhadap Nurul Asikin) kepada waris sehingga kedua-dua ibu bapa pencarum meninggal dunia.
“Ini adalah antara faedah penting yang kita mahu orang ramai sedar. Sama ada bekerja atau tidak, sesiapa sahaja boleh mencarum dengan Perkeso,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nancy turut menyentuh peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam membantu keluarga arwah Nurul Asikin yang mengalami trauma akibat kehilangannya.
“Bantuan kami termasuk kaunseling dan, jika layak, bantuan kebajikan lain akan diberikan berdasarkan siasatan dan keperluan keluarga.
“Namun, buat masa ini, kita perlu memberi ruang kepada keluarga yang masih trauma untuk bertenang,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pegawai kebajikan akan terus memantau keadaan keluarga tanpa mengganggu mereka yang memerlukan waktu untuk pulih daripada trauma.
“Kami tidak mahu menyusahkan mereka. Apabila mereka bersedia, insya-Allah kita akan memberikan sokongan (khidmat kaunseling),” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal