Demi memastikan penularan pandemik COVID-19 dapat disekat, kerajaan telah pun bertindak menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac sebelum arahan itu dilonggar kepada PKP Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lepas.
Sudah tentunya rakyat menarik nafas lega apabila PKPP ini dikuat kuasa memandangkan banyak sektor awam dan swasta di dalam negara terjejas semenjak dua bulan lepas berhubung penguatkuasaan arahan itu.
Antara yang turut terjejas berhubung penguatkuasaan arahan tersebut adalah sektor pendidikan dengan sekolah-sekolah terpaksa ditutup sehingga para pelajarnya tidak dapat mengikuti pembelajaran seperti biasa.
Oleh yang demikian JawatanKuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung ( JKKK ) Rumah Saga, Nanga Ulai, Rimbas Debak telah pun mengambil pendekatan membimbing pelajar di rumah panjang untuk mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah.
Ini bagi membolehkan pelajar yang tinggal di rumah panjang mereka tidak jauh ketinggalan dalam pelajaran apabila sekolah dibuka semula secara menyeluruh di negara ini pada masa akan datang.
Sambil diketuai oleh Tuai Rumah (Tr) Saga Unggut selaku Pengerusi JKKK Nanga Ulai, satu program telah pun dirancang khas untuk kesemua pelajar di dalam rumah panjang mereka.
Menerusi program berkenaan yang dikendali oleh ahli JKKK rumah panjang berkenaan, para pelajar telah dikumpulkan di satu tempat yang telah disedia sambil dipantau oleh pembimbing yang telah dilantik.
“Penyediaan bahan pembelajaran tidak berdepan sebarang masalah bagi tujuan perlaksanaan program ini kerana guru-guru di sekolah telah pun menghantar bahan ulangkaji serta latihan yang perlu disiapkan.
“Malahan pihak kita juga turut memuat turun banyak bahan-bahan pembelajaran serta latihan di internet bagi menjadi perlaksanaan program itu menjadi lebih efektif dalam kalangan pelajar,” kata Tr Saga.
Beliau memberitahu program berkenaan adalah salah satu insentif pihak JKKKnya untuk membantu anak-anak mengulangkaji pelajaran di rumah panjang ketika sesi persekolahan masih belum dibenarkan beroperasi seperti biasa pada masa sekarang.
Bagaimanapun, pihak JKKK Nanga Ulai kata Tr Saga tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan ketika melaksana program berkenaan di rumah panjang mereka.
Antara pematuhan tersebut kata bekas warga pendidik tersebut adalah penggunaan pelitup muka, mencuci tangan menggunakan sabun atau handytizer secara kerap dan juga penjarakan sosial satu meter antara satu sama lain.
“Secara keseluruhannya program belajar di rumah panjang ini telah pun dilaksanakan dengan lancar sambil mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan menerusi penguatkuasaan PKP ini.
“Justeru saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini demi kebaikan anak-anak Rumah Panjang Nanga Ulai, Rimbas,” kata Tr Saga.
Oleh Valentine Ngumbang