BAGI kebanyakan masyarakat di dunia,mungkin tarikh 4 Februari tidak membawa apa-apa kesignifikan. Hari yang diisytiharkan sebagai sambutan Hari Kanser Sedunia. Pasti sudah sambutannya tidak semeriah berbanding tarikh 14 Februari setiap tahun yang melambangkan ‘Hari Percintaan Sedunia’ atau Valentine’s Day. Hari yang disambut bukan sahaja oleh pasangan kekasih muda, akan tetapi turut diraikan oleh ‘kekasih lanjut usia’. Begitu besar peranan cinta dalam kehidupan manusia. Kecintaan yang menebal terhadap pasangan masing-masing, namun menipis sikap kecintaan secara holistik.
Kanser ialah sejenis penyakit yang berkaitan dengan ketidakseimbangan replikasi dan tindak balas sel dalam badan. Biasanya sel ini akan bertambah mengikut aturannya bagi membolehkan tumbesaran badan dan pemulihan selepas berlakunya apa-apa kecederaan. Namun, ada kalanya sel ini bertambah secara tidak normal, menyebabkan berlakunya ketumbuhan tidak normal yang dikenali sebagai tumor, yang boleh dikategorikan sama ada sebagai bukan barah (benign), ataupun barah (malignant). Barah terdiri daripada sel-sel barah yang sekiranya tidak dirawat, boleh merebak ke bahagian tubuh badan yang lain, sehingga menyebabkan komplikasi sistemik. Komplikasi dan kehilangan fungsi multiorgan akan menyebabkan kematian. Barah yang merebak dikenali sebagai barah sekunder atau metastasis.
Perkataan kanser atau barah, sememangnya amat ‘digeruni’ kebanyakan orang, dan seboleh-bolehnya, tidak ingin dibicarakan secara terbuka. Kanser seakan-akan satu ‘bala’ yang menimpa seseorang penghidapnya yang ‘menempatkan mereka dalam ‘sempadan’ daerah yang berasingan. Penghidap kanser dilihat sebagai hyper sensitive, dan mudah tersinggung, di samping sedaya upaya cuba mengelak daripada berbicara tentang ‘penyakit’ yang dihidapi. Malah, dalam situasi tertentu, seseorang penghidap kanser mempamerkan perubahan sikap yang ketara.
Penulis terimbau suatu ketika dahulu apabila seorang sahabat didiagnosis menghidap kanser tahap 4, tahap kronik yang tidak diberikan ‘pengharapan tinggi’ untuk pulih. Ketika itu, bersarang pelbagai persepsi akan tekanan yang dihadapi beliau apabila dimaklumkan oleh doktor pakar akan hal sedemikian. Timbul perasaan sedih, simpati dan empati yang tidak terungkapkan. Daripada insan periang, cergas dan bersemangat waja, jelas terkesan perubahan sikap yang bertentangan. Perubahan sikap yang difahami dan dimaklumi.
Bertahun, imbauan berkenaan acap kali bertandang apabila terungkit peristiwa-peristiwa lama yang ‘menghadirkan’ keberadaannya. Saat sedemikian, terbit kembali persoalan akan keperitan yang ditanggung dalam pendepanan ujian yang amat getir sehingga ke akhir hayatnya. Sememangnya sejauh mana sekalipun penerokaan minda dan penyelaman nubari kita, tidak mungkin akan dapat menterjemahkan keperitan sedemikian secara zahirnya.
Hanya setelah lebih setahun lalu, penulis memahami akan tekanan yang dialami arwah sahabat apabila, penulis sendiri didiagnosis menghidapi kanser tahap pertengahan. Pada saat itu, seluruh tubuh terasa seakan-akan lumpuh tiba-tiba, fikiran tidak keruan serta pandangan menjadi kabur. Makna keberadaan dalam kamus kehidupan terpadam dalam sehela nafas. Akan tetapi, keyakinan yang dilontarkan doktor berkenaan bahawa masih ada ruang untuk sembuh, sedikit sebanyak memberikan harapan, walaupun masih termendap kesangsian.
Atas dorongan ahli keluarga, harapan itu tidak layu. Penulis mengambil pendekatan untuk tidak melaraskan tumpuan terhadap tahap penyakit, akan tetapi lebih kepada proses pemulihan berdasarkan kaedah secara pengambilan ubatan serta terapi, di samping ‘memenuhi masa’ dengan dunia kepenulisan. Amalan pelarian daripada memikirkan tentang penyakit yang dihidapi. Walaupun ada ketikanya, kesakitan itu memeritkan, namun kepayahan menongkah arus parah itu terlerai apabila melihat tintaan ilham tersiar, walaupun tidak diketahui sejauh mana penyantunan khalayak pembaca. Kepuasan itulah yang menjadi penawar, di samping galakan serta sokongan ahli keluarga.
Wajar diketahui bahawa bukan simpati dan belas yang ditagih. Hal sedemikian itu amat sensitif kerana mampu melemahkan semangat serta meruntuhkan keyakinan untuk meneruskan perjuangan menongkah parah. Perkara primer adalah pemahaman serta dorongan. Buat penghidap kanser, kuatkan semangat, kukuhkan tekad dan usah mudah mengalah.
“Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser”
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!