BEIJING: China melancarkan program sijil kesihatan untuk pelancong domestik, sekali gus mendahului negara lain dalam perancangan mengeluarkan ‘Pasport virus’.
Sijil digital itu yang memaparkan status vaksinasi pengguna dan hasil ujian virus pengguna, tersedia untuk warga China menerusi satu program dalam platform media sosial China, WeChat, yang dilancarkan semalam.
Jurucakap Kementerian Luar China berkata, sijil itu diterbitkan bagi membantu menyokong pemulihan ekonomi dunia dan memudahkan perjalanan rentas sempadan.
Bagaimanapun, sijil kesihatan antarabangsa itu hanya boleh digunakan oleh rakyat China sahaja buat masa ini dan penggunaannya belum diwajibkan.
Sijil berkenaan, yang turut tersedia dalam bentuk kertas, dipercayai pasport virus pertama di dunia.
Amerika Syarikat (AS) dan Britain adalah antara yang sedang mempertimbang melaksanakan pengeluaran permit seumpamanya.
Kesatuan Eropah (EU) juga dalam proses menerbitkan ‘pas hijau’ yang akan membenarkan penduduknya melakukan perjalanan antara negara anggota dan keluar negara.
Program dilaksanakan China merangkumi kod QR tersulit yang membenarkan setiap negara mendapatkan maklumat kesihatan pelancong, lapor media agensi Xinhua semalam.
‘Kod QR kesihatan’ dalam WeChat dan aplikasi telefon pintar China lain kini diperlukan untuk dibenarkan masuk ke dalam pengangkutan domestik dan kebanyakan kawasan awam lain di China.
Aplikasi itu mengesan lokasi pengguna dan menghasilkan kod ‘hijau’ jika pengguna tidak menjadi kontak rapat kepada kes positif Covid-19, atau berkunjung ke kawasan penularan virus, namun ia turut mencetus kebimbangan mengenai isu privasi dan pemantauan kerajaan.
Di Geneva,peningkatan pembuatan vaksin yang tidak pernah berlaku sebelum ini bagi memerangi Covid-19, telah mencetuskan isu kekurangan yang bahaya dalam rantaian bekalannya.
Perkara itu diakui pemain global terbabit selepas sesi sumbang saran diadakan berhubung langkah untuk mempercepatkan pengeluaran vaksin berkenaan.
Pihak pengeluar dijangka berupaya menghasilkan kira-kira 10 bilion dos pelbagai jenis vaksin Covid-19, tahun ini iaitu dua kali ganda kapasiti pembuatan untuk gabungan semua vaksin pada 2019.
“Ini adalah peningkatan pembuatan yang terbesar pernah disaksikan di dunia,” kata Ketua Pengarah Persekutuan Persatuan dan Pengilang Farmaseutikal Antarabangsa (IFPMA), Thomas Cueni, pada taklimat media secara maya.
Selepas menyertai mesyuarat dalam talian selama dua hari bagi membincangkan cara mengatasi kekangan dan melonjakkan pengeluaran vaksin itu dengan pantas, Cueni tidak menafikan kesan beban peningkatan pembuatan secara besar-besaran berkenaan kini mulai timbul.
“Bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika wujud rintangan dalam usaha berkenaan.
“Ia pasti akan membawa kepada masalah berkaitan kepesatan pengeluaran yang harus ditangani dengan segera,” katanya sambil menjelaskan bahawa ratusan bahan mentah diperlukan untuk menghasilkan vaksin.
Mesyuarat itu dianjurkan oleh badan pemikir, Chatham House, bersama IFPMA dan inisiatif akses global vaksin, COVAX, dengan disertai segenap pihak pemain meliputi delegasi kerajaan, wakil farmaseutikal serta saintis.
Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Ngozi Okonjo-Iweala, dalam satu kenyataan pula memaklumkan beliau turut menggesa pengeluar vaksin untuk mempertingkat pembuatan di negara membangun.
Malah, beliau menyifatkan ketidakseimbangan akses antara negara miskin dengan yang berpendapatan tinggi, terhadap vaksin terbabit ketika ini sebagai ‘tidak munasabah’.
Pembuatan vaksin berkenaan bukan hanya memerlukan bahan dalam kuantiti yang belum pernah terjadi sebelum ini, tetapi juga item seperti kaca untuk bebuli serta plastik bagi penutupnya – ketika rantaian bekalan global terjejas akibat pandemik Covid-19.
Gabungan untuk Inovasi Persediaan Epidemik (CEPI) juga memaklumkan, pihaknya melihat wujud ‘isyarat kesan beban yang semakin jelas dalam rantaian bekalan.’
Ketua Pegawai Eksekutif CEPI, Richard Hatchett, berkata syarikat pengeluar mula melaporkan masalah kekurangan bekalan bahan kritikal, bahan mentah, barangan keperluan penting serta peralatan yang diperlukan untuk pembuatan vaksin.
Isu bekalan terbabit menyebabkan sebilangan negara mempertimbang untuk mengambil tindakan seperti melaksanakan kawalan eksport berkaitan.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran, tindakan sedemikian boleh mencetuskan masalah besar dalam dunia saling berhubung ini, sekali gus memberikan risiko terhadap keseluruhan rantaian bekalan vaksin itu. – AFP