RASMI… Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom merasmikan majlis perasmian Pesta Lada Julau 2022 di Pentas Utama Tapak Pesta Lada Julau di tapak letak kereta MDMJ, malam kelmarin.
JULAU: Tanaman lada merupakan sektor ekonomi utama dalam kalangan masyarakat Julau.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, produk lada yang dihasilkan di Julau merupakan produk yang dipasarkan di pasaran tempatan dan luar negara.
“Perkara ini juga telah meningkatkan statistik eksport pengeluaran lada Sarawak.
“Selain itu, Julau juga terkenal dengan pengeluaran buah-buahan dan kelapa sawit sehingga ada beberapa penduduk Julau yang telah menjadi usahawan sawit sudah berjaya.
“Bahagian Sarikei yang sinonim dengan aspirasi sebagai Food Basket Of
Sarawak diharapkan dapat dipromosi dan diangkat sebagai Pusat Agropolis Wilayah Zon Tengah serta menjadi destinasi pilihan bagi pelancongan Agro Tourism Negeri Sarawak melalui penganjuran Pesta Lada Julau serta pesta-pesta lain di Bahagian Sarikei,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Pesta Lada Julau 2022 di Pentas Utama Tapak Pesta Lada Julau di tapak letak kereta Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), malam kelmarin.
Katanya, objektif penganjuran Pesta Lada Julau pada tahun ini adalah untuk mempromosikan Julau sebagai Daerah Pengeluar Lada Sarawak yang utama di Malaysia.
“Selain itu, Julau juga berpotensi untuk dijadikan destinasi Agro Pelancongan yang kaya dengan hasil pertanian, di samping meningkatkan aktiviti keusahawan dan perdagangan bagi menyumbang kepada sosio-ekonomi penduduk setempat.
“Penganjuran pesta ini juga bertujuan memantapkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Daerah Julau dan Sarawak khasnya serta meningkatkan sosioekonomi rakyat melalui aktiviti keusahawanan, jualan dan promosi produk.
“Bukan itu sahaja, konsep penganjuran pesta ini diadakan dengan berkolabrasi dan mengamalkan kerjasama pintar dengan pelbagai pihak serta kos penganjuran dibiayai bersama pihak-pihak yang berkaitan,” ujarnya.
Stephen Rundi juga percaya bahawa Daerah Julau mempunyai potensi yang besar untuk berkembang maju dalam bidang pertanian lada.
“Dengan kekayaan sumber alam yang terdapat di Daerah Julau dan sekitarnya, Daerah Julau boleh berkembang sebagai pemacu utama dalam aktiviti ekonomi pertanian terutamanya di kawasan tengah Sarawak.
“Daerah Julau yang terletak di antara Bahagian Sarikei dan Sibu, merupakan lokasi yang strategik terutamanya sebagai rangkaian utama eksport lada dalam memasarkan produk yang berasaskan lada.
“Manfaatkanlah kelebihan yang ada ini untuk kita bersama dalam melonjakkan sosioekonomi rakyat bagi mencapai matlamat kerajaan dalam menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi selaras dengan usaha Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 yang diilhamkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya lagi.
Tambahnya, penganjuran Pesta Lada Julau merupakan salah satu platform terbaik dalam memberi peluang dan ruang kepada peladang atau penanam lada di sekitar daerah Julau untuk mendalami lebih banyak ilmu dan peluang perniagaan yang berkaitan dengan produk lada melalui pameran dan seminar yang diadakan bagi mendokong Konsep ‘Pertanian adalah Perniagaan’.
“Di samping itu, melalui penganjuran Pesta Lada Julau ini juga mampu memberi peluang perniagaan kepada peniaga kecil yang lain bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi daerah Julau.
“Contohnya, perniagaan makanan simbolik Julau iaitu Rojak Suntong Julau dan perniagaan kraf tangan tenunan asli buatan tangan masyarakat Julau.
“Dalam kesempatan ini, saya juga ingin menyentuh lima teras dalam Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2030 iaitu Kemampanan, Produktiviti, Penjanaan Nilai, Pembangunan Pasaran, dan Keterangkuman,” katanya lagi.
Beliau turut menggesa setiap usahawan lada yang ada di Daerah Julau menyahut cabaran kementerian bagi memastikan peningkatan pembangunan dan pertumbuhan sektor lada untuk tempoh 10 tahun akan datang.
“Untuk memastikan kebajikan pekebun kecil terus dipelihara, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu bermula 2021 hingga 2025, kerajaan melalui Lembaga Lada Malaysia melaksanakan beberapa program pembangunan yang meliputi Program Pembangunan Haluan Industri Lada (PHIL), Projek Pembangunan Pengeluaran Lada Premium (PPLP), inovasi penanaman lada, pertanian pintar tanaman lada, Aplikasi Program Pengurusan Penyakit dan Perosak Secara Bersepadu (IPDM) di dalam penanaman lada dab Program Pembangunan Keusahawanan Lada.
“Diharapkan para usahawan lada di Daerah Julau ini dapat mengambil peluang melalui inisiatif-inisiatif kerajaan tersebut,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut menyumbangkan sebanyak RM20,000 bagi membantu menjayakan Pesta Lada Julau 2022.