TANDA INGATAN… Pengerusi SHEDA Cawangan Kuching, Cr Dato Sim Kiang Chiok menyampaikan momento kepada Michael Tiang Ming Tee sebagai tanda kenangan pada Majlis Penutupan Pengurusan dan Penyelenggaraan Strata di Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di Kuching, semalam.
KUCHING: Sarawak mungkin melihat trend menaik hartanah berstrata bukan sahaja di Kuching, tetapi juga di Miri, Bintulu dan Sibu.
Hakmilik strata ialah hakmilik tanah yang dikeluarkan untuk blok pangsapuri berbilang tingkat dan pecahan mendatar dengan kawasan kongsi.
Timbalan Menteri Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan(MPHLG)Sarawak II, Michael Tiang Ming Tee berkata, walaupun rakyat Sarawak secara amnya cenderung untuk memilih hartanah bertanah, dengan peraturan yang jelas untuk pengurusan dan penyelenggaraan strata disediakan, kita seharusnya menjangkakan untuk melihat aliran menaik hartanah berstrata.
“Peruntukan berkaitan Ordinan Pengurusan Strata 2019, Peraturan-Peraturan Strata (Pengurusan dan Penyelenggaraan) 2022 dan Ordinan Strata (Hak Milik Subsidiari) 2019 yang berkuat kuasa awal tahun ini, bertujuan untuk menambah nilai dan meningkatkan taraf dan jangkaan kehidupan berstrata.
“Dilaksanakan dengan betul, peraturan, proses dan prosedur adalah asas ke arah menggalakkan bakal pemilik rumah untuk secara aktif mempertimbangkan hartanah hak milik strata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pengurusan dan Penyelenggaraan Srata di Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, semalam.
Bahan yang dibentangkan dan diterangkan sepanjang siri seminar ini adalah bertujuan untuk membantu dalam pengurusan dan penyenggaraan hartanah strata.
“Ia bertujuan untuk menggalakkan prosedur pentadbiran yang berkesan dalam setiap pembangunan serta memberi rasa selamat, keselamatan dan jaminan kepada penghuninya.
“Perundangan baharu itu bertujuan untuk menambah nilai dan meningkatkan taraf dan jangkaan kehidupan berstrata,” katanya.
Katanya, kebanyakan projek pembangunan strata berpusat di Kuching dan boleh difahami, adalah wajar jika kita mahu menumpukan tenaga dan usaha di mana kita rasa ia akan menguntungkan.
“Kesediaan jawatankuasa penganjur untuk mengadakan seminar ini di Miri, Bintulu dan Sibu, walaupun terdapat sedikit projek pembangunan strata di sana pada masa ini berbanding Kuching, juga mencerminkan agenda keterangkuman dan ekuiti Kerajaan Sarawak,” katanya.
Sementara itu, menurut Presiden SHEDA, Augustine C.H. Wong, lebih 600 orang telah mendaftar untuk menyertai siri seminar ini yang pertama kali bermula di Miri pada 22 Ogos 2022.
“Saya juga telah dimaklumkan bahawa kami mempunyai senarai menunggu tambahan 150 orang.
“Saya rasa adalah selamat untuk mengatakan bahawa semua orang yang terlibat dalam projek ini sangat digalakkan oleh sambutan yang positif. Siri seminar bersama ini amat diperlukan oleh industri kami dan juga oleh mereka yang mengurus dan berurusan dengan hartanah hak milik strata.
“Sebelum seminar bersiri ini, perundangan kelihatan rumit dan sukar untuk difahami. Orang yang berbeza nampaknya mempunyai tafsiran yang berbeza tentang undang-undang dan cara menggunakannya. Kini, kami mempunyai maklumat yang mudah didapati dan terus daripada Kementerian dan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN