
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia mengakhiri minggu ini dengan lebih rendah, dipengaruhi oleh penyusutan niaga hadapan getah serantau dan penurunan harga minyak mentah sebagai penanda aras manakala pengukuhan ringgit turut memberi tekanan kepada harga komoditi itu.
Peniaga berkata sentimen pasaran telah terkesan berikutan ketidaktentuan yang berterusan berkaitan tarif dan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) serta data ekonomi AS yang lebih perlahan.
“Bagaimanapun, penyusutan selanjutnya dikekang oleh harapan yang semakin meningkat bahawa China akan memperkenalkan lebih banyak langkah rangsangan untuk meningkatkan ekonominya,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya niaga hadapan getah Jepun merosot pada Jumaat, dengan pasaran dijangka mencatat penyusutan mingguan yang pertama dalam tempoh lima minggu.
Katanya ini berikutan aktiviti menoreh getah bermusim yang telah meredakan kebimbangan mengenai bekalan manakala keputusan mengenai tarif di AS yang tidak menentu telah menambahkan ketidakpastian dalam perdagangan.
Sementara itu, pada 3.00 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga SMR 20 susut 19 sen kepada 698.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan 6.0 sen kepada 620.5 sen sekilogram.
Pasaran getah Kuala Lumpur akan ditutup pada 2 Jun 2025 (Isnin) sempena cuti umum Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan akan menyambung semula operasi pada Selasa.
-Bernama