KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia terus ditutup bercampur-campur semalam seiring dengan pasaran niaga hadapan getah serantau.
Menurut peniaga, penggiat pasaran akan memantau perkembangan rundingan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) dan data inflasi AS yang mungkin menentukan tindakan Rizab Persekutuan AS yang selanjutnya.
Beliau berkata, pegawai perdagangan tertinggi AS dan China telah bersetuju untuk menggalakkan perdagangan sihat dan bekerjasama menangani perbezaan dalam perbincangan peringkat tertinggi yang terkini di antara kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu.
“Kedua-dua pihak mengiktiraf kepentingan rundingan perniagaan dan akan meneruskan komunikasi yang terbuka,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, peningkatan yang selanjutnya telah dihadkan oleh penurunan harga minyak mentah.
Harga minyak merosot semalam berikutan data inventori di AS selaku pengguna minyak utama dunia mencatatkan lonjakan dalam saham gasolin yang menunjukkan permintaan terhadap bahan api adalah lebih lemah daripada jangkaan ketika awal musim panas ini, waktu kemuncak bagi permotoran di negara itu, katanya.
Setakat ini, minyak mentah Brent turun 0.07 peratus kepada US$72.17 setong.
Pada 12.00 tengah hari, harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 meningkat satu sen kepada 672.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal susut lima sen kepada 578.5 sen sekilogram. Pada 5.00 petang, harga rujukan bagi SMR 20 berada pada 662.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 573.0 sen sekilogram.- Bernama