
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka kekal lengang minggu depan berikutan ketidaktentuan ekonomi global susulan penangguhan tarif Amerika Syarikat (AS) selama 90 hari.
Pakar industri, Denis Low berkata sikap AS dilihat sukar membuat keputusan muktamad telah menganggu perdagangan global dan pasaran kewangan, menyebabkan peniaga pasaran bersikap berhati-hati.
“Sentimen semasa akan menjejaskan permintaan bagi kebanyakan komoditi termasuk getah.
“Sebarang urus niaga kebanyakannya adalah berdasarkan kontrak yang telah termeterai dan ia hanya sebagai pengisian semula stok sahaja,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, Low menjangkakan pasaran getah kekal lengang, diniagakan tidak berubah, cenderung menurun.
“Kadar pertukaran mata wang tidak menentu dan dengan perubahan yang begitu besar setiap hari, perniagaan berada dalam dilema, sama ada untuk melindung nilai atau biar ia diapungkan secara bebas dalam pasaran…harus diingat terdapat kos apabila melindung nilai,” katanya.
Sementara itu, Low berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran untuk ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa bahagian di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Beliau berkata selain itu, Jabatan Meteorologi Thailand (TMD) turut meramalkan hujan petir di seluruh Thailand dan hujan lebat mungkin berlaku di wilayah timur laut, Ttimur dan selatan (pantai barat) negara itu.
Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata pasaran getah dijangka diniagakan dalam trend bercampur-campur minggu depan memandangkan rundingan perdagangan antara AS dan China sedang berjalan sekarang.
“Permintaan mungkin dipengaruhi oleh sektor pembuatan China yang merosot secara tidak dijangka pada Mei, manakala pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Asia Pasifik kini dijangka lebih rendah pada purata empat peratus pada 2025.
“Bagaimanapun, harga getah akan dipengaruhi oleh bekalan getah asli (NR) yang terganggu di negara pengeluar utama akibat musim hujan serta pasaran hadapan getah serantau,” kata persatuan itu.
Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah Kuala Lumpur diniagakan bercampur-campur.
Bagi minggu ke minggu, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun sebanyak 7.5 sen kepada 691.0 sen sekilogram manakala lateks pukal susut sebanyak 19 sen kepada 601.5 sen sekilogram.
-Bernama