DIJANGKA DINIAGAKAN DALAM MOD BERHATI-HATI… Pasaran juga dijangka memantau data infl asi Amerika Syarikat (AS) pada 10 Jun, keputusan Rizab Persekutuan AS mengenai kenaikan kadar dan statistik getah asli Malaysia. Dagangan mungkin akan kekal dalam mod berhatihati berdasarkan data infl asi AS itu.
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan dalam mod berhati-hati minggu ini dipengaruhi oleh pasaran hadapan getah serantau dan pergerakan ringgit, kata seorang peniaga.
Beliau berkata, pasaran juga akan menjejaki harga minyak mentah penanda aras berikutan pelaksanaan sekatan perjalanan Covid-19 di Shanghai, China.
“Hab ekonomi terbesar China itu mengenakan sekatan perjalanan terbaharu dan melakukan ujian besar-besaran Covid-19 berikutan peningkatan semula jangkitan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, pasaran juga dijangka memantau data inflasi Amerika Syarikat (AS) pada 10 Jun, keputusan Rizab Persekutuan AS mengenai kenaikan kadar dan statistik getah asli Malaysia.
“Dagangan mungkin akan kekal dalam mod berhati-hati berdasarkan data inflasi AS itu,” katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir ini, getah tempatan diniagakan bercampur-campur dipengaruhi oleh petunjuk lemah mengenai pasaran niaga hadapan getah serantau, harga minyak mentah penanda aras yang lebih rendah dalam persekitaran sekatan perjalanan COVID-19 di Shanghai dan ringgit yang lebih kukuh sedikit berbanding dolar AS.
Pasaran ditutup pada Isnin (6 Jun) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred SMR 20 naik 1.5 sen kepada 730.5 sen sekilogram manakala lateks pukal jatuh 14.5 sen kepada 680.5 sen sekilogram.
Pada 5.00 petang Sabtu (11 Jun) lalu, harga penutup MRB untuk SMR 20 berada pada 727.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 661.5 sen sekilogram. – Bernama