
KUCHING: Penganjuran edisi ke-51 Pasar Tani Semula Jadi Kuching terus menjadi platform penting bagi petani kecil untuk memasarkan hasil pertanian mereka secara terus kepada pengguna tanpa orang tengah.
Inisiatif ini sekali gus membantu meningkatkan pendapatan golongan petani serta memastikan pulangan yang lebih adil kepada mereka.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, konsep itu bukan sahaja memberi ruang kepada petani mempamer dan menjual hasil tanaman, malah membolehkan pengguna mendapatkan makanan segar dan sihat pada harga berpatutan.
“Ramai beranggapan makanan semula jadi mahal, tetapi di sini hasil dijual terus daripada petani kepada pengguna tanpa orang tengah.

“Ini membolehkan kos dikurangkan dan pengguna masih boleh menikmati makanan sihat pada harga berpatutan,” katanya ketika berucap meraikan edisi ke-51 pasar tani semula jadi tersebut, di sini hari ini.
Beliau menambah, pasar itu memberi peluang khususnya kepada petani kecil yang tidak mempunyai kawasan tanaman luas, termasuk mereka yang hanya menanam secara kecil-kecilan di rumah, untuk memperkenalkan hasil masing-masing.
Katanya, tanpa platform sebegini, petani kecil akan berdepan kesukaran memasarkan hasil dan berisiko menghentikan aktiviti pertanian.
“Jika tiada pembeli, petani akan berhenti menanam. Dalam jangka panjang, kepelbagaian tanaman boleh terjejas kerana tiada permintaan di pasaran,” ujarnya.
Tambah beliau, suasana mesra antara peniaga dan pengunjung di pasar tersebut mencerminkan kekuatan komuniti setempat serta menggalakkan perkongsian nilai gaya hidup sihat.

Beliau berkata pasar ini bukan sekadar tempat jual beli, tetapi juga ruang interaksi yang menghubungkan pengeluar dan pengguna dalam suasana harmoni.
Dato Wee berharap penganjuran pasar itu dapat diperluaskan daripada dua kali sebulan kepada acara mingguan pada masa hadapan sekiranya mendapat sambutan berterusan.
“Kita mahu lebih ramai tampil menyokong petani kecil kerana tanpa sokongan pengguna, usaha ini sukar untuk dikekalkan,” katanya.
Oleh Adele Rissa