KUCHING: Kerajaan Negeri akan mengumumkan pembukaan Pasar Tani dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam masa terdekat bagi membantu petani membekalkan produk makanan mereka.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, Pasar Tani itu bakal dibuka bagi membolehkan petani, nelayan menjalankan aktiviti menjual barangan mereka.
“FAMA dan Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah akan bekerjasama untuk mencari penyelesaian dengan membuka Pasar Tani di seluruh negeri.
“Ini adalah supaya ada satu tempat khusus di setiap daerah bagi petani menjual produk makanan mereka.
“Ia adalah sebagai bekalan makanan dan orang ramai ada sayur, ikan, makanan dan sebagainya untuk dimakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat harian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
Tegasnya, sudah tentu pembukaan pasar tani mestilah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mengamalkan jarak sosial dan kebersihan.
Mengulas mengenai petani dan nelayan menjalankan aktiviti termasuk menghantar bekalan makanan mereka antara daerah, Uggah bekata pihaknya sudah mengatur dengan polis.
“Jika polis melihat lori itu penuh dengan bekalan makanan seperti sayur-sayuran, telur dan sebagainya, sudah tentu dilepaskan, mereka tidak memerlukan surat.
“Begitu juga kawsan luar bandar, mereka masih boleh menoreh getah dan sebagainya.
“Cuma kita ada masalah bagi petani di Kuching tetapi kebunnya di Bau contohnya, mereka ini perlu mendapatkan permit di pejabat daerah atau residen berdekatan supaya dapat pergi ke kebun mereka,” jelasnya.
Bercakap mengenai perkara berlainan, Uggah berkata setakat ini tidak ada sebarang isu mengenai bekalan ubat-ubatan ke luar daerah termasuk pedalaman kerana ia adalah perkhidmatan penting.
“Begitu juga untuk juruteknik elektrik Sarawak Energy (SEB) yang ditugaskan untuk membina atau memperbaiki sambungan elektrik ke kampung dan rumah.
“Mereka berada di bawah perkhidmatan penting, dan jika waktu malam ada masalah, mereka juga perlu turun memperbaiki serta merta, “katanya.
Menjawab pertanyaan mengenai laporan berita antarabangsa mengenai haiwan juga boleh dijangkiti Covid-19, Uggah berkata orang ramai perlu mendapatkan maklumat sahih mengenai laporan tersebut. “Tetapi kita di Sarawak memang sudah sedia ada menasihatkan orang ramai untuk berjaga-jaga dengan haiwan peliharaan mereka terutamanya dengan kes rabies terbaru di Sibu,” tambahnya.