
SIBU: Pasar Tamu di Pasar Sentral Sibu ditutup sementara bermula hari ini hingga 11 September, bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan najis burung dan penyelenggaraan kipas besar yang sudah lama tidak berfungsi.

Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Mohammed Abdullah Izkandar Roseley, kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan kipas besar yang rosak memerlukan penggunaan kren dan ruang tamu perlu digunakan.
“Penutupan hanya di kawasan tamu yang berlesen sahaja. Namun, peniaga di kawasan tamu permit harian masih dibenarkan beroperasi seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Beliau berkata, para peniaga yang terlibat telah dimaklumkan melalui sesi dialog dan semua bersetuju dengan penutupan sementara tersebut.
“Notis rasmi turut dikeluarkan kepada mereka lebih awal,” jelasnya.
Beliau berkata, dalam perancangan jangka panjang, MPS merancang beberapa usaha naik taraf termasuk penukaran meja dan kerusi makan di tingkat satu, naik taraf kawasan penjualan daging babi dan pasar basah, serta pemasangan eskalator bagi memudahkan warga emas mengunjungi pasar berkenaan.
“Isu menangani najis burung dan kawalan burung di Pasar Sentral masih dibincangkan,” kata beliau.

Terdahulu tinjauan di pasar tamu tersebut pagi tadi, mendapati keadaan lenggang susulan penutupan sementara bagi memberi laluan kerja-kerja penyelenggaraan, mulai hari.
Oleh Akun Giman