SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (SMC) sedang mengusahakan pendekatan untuk mentransformasikan Pasar Sentral bagi menarik pelanggan dan merancakkan perniagaan rata-rata penjaja yang terjejas dan mengalami jualan yang semakin merosot.
Pengerusi SMC, Clarence Ting Ing Horh berkata, pasar berkenaan perlu diubah bagi menarik pengunjung ke pasar besar berkenaan.
“Kita perlu melakukan beberapa transformasi. Pokoknya kita tidak boleh membiarkannya ia terus jumud kerana perniagaan lain semakin berubah dan berkembang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis SMC di sini, hari ini.
Menurutnya, menjadi prinsip beliau memastikan penjaja yang telah mendapat lesen berniaga daripada pihak majlis, sewajarnya dapat menjalankan perniagaan dengan baik.
Justeru, beliau berkata, pihak majlis bercadang untuk membenarkan bas bagi laluan Kapit-Sibu untuk menurunkan penumpang mereka berhampiran dermaga bot ekspres Kapit.
“Daripada pergi ke Terminal Bas Sibu di Lorong Pahlawan 7, bas Kapit-Sibu boleh terus ke dermaga Kapit untuk menurunkan penumpang sama sebagaimana dilakukan bas Sarikei-Sibu, ketika ini.
“Orang ramai (penumpang) hanya boleh berjalan kaki ke pasar seperti ketika bot ekspres beroperasi dahulu,” katanya.
Ting berkata, tempat letak kereta yang tidak mencukupi bukan satu-satunya punca pasar itu mengalami kemerosotan perniagaan, namun faktor lain, ia disebabkan semakin banyak wujudnya kedai pilihan buat pengunjung untuk membeli barangan keperluan harian.
Bagi penjaja, tindakan tegas pihak majlis terhadap pengunjung yang meletakkan kenderaan di ruang pemunggahan/pemunggahan pasar, secara tidak langsung telah menyebabkan pengurangan drastik pengunjung ke pasar berkenaan.
Terdapat lebih 1,000 penjaja yang mempunyai lesen berniaga di pasar berkenaan buat masa ini, namun ramai dalam kalangan mereka telah berhenti berniaga.
Sementara itu, beliau berkata, Pusat Warisan Sibu akan diubah menjadi lebih ceria dengan para pengunjung boleh menikmati makanan jalanan dan dihiburkan dengan nyanyian penghibur tempatan ketika bersiar-siar di kawasan itu.
“Suasana akan menjadi sangat menarik. Kami ingin membina amfiteater di pusat itu supaya penghibur anak tempatan boleh membuat persembahan. Inilah yang kita mahu lakukan untuk mempromosikan bakat tempatan dan mengiktiraf mereka,” katanya.
Menurutnya, dengan lebih banyak aktiviti diadakan, kawasan lapang bersebelahan Muzium Warisan Sibu yang terletak di bahagian lama bandar Sibu mampu menarik pengunjung dan menjadikan tempat itu sebagai tempat ceria dikunjungi pada malam hari, sekali gus membuka peluang perniagaan buat premis perniagaan di kawasan sekitarnya. – Bernama