KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) memaklumkan bahawa terdapat satu kluster baharu dilaporkan di negeri semalam, iaitu Kluster Pasar Satok.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, mengesahkan ia adalah melibatkan Pasar Kubah Ria di Satok.
“Kluster ini telah dikesan setelah empat kes baharu hasil aktiviti saringan aktif melibatkan para peniaga di pasar besar.
“Pada 25 dan 26 Julai lalu, saringan aktif Covid-19 telah dijalankan di pasar ini melibatkan seramai 229 orang,” katanya.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata demikian pada sidang media perkembangan Covid-19 bertempat di Dewan Undangan Negeri Lama, di sini, semalam
“Daripada jumlah yang disaring tersebut, seramai empat orang telah didapati positif ujian rT-PCR COVID-19 pada 27 Julai 2020.
“Kesemua kes tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala dan indeks kes kepada kluster ini dan kontak kepada kes-kes masih dalam siasatan,” jelasnya.
Bercakap mengenai kluster yang masih aktif, beliau berkata jumlah kluster yang masih aktif di Sarawak ialah sebanyak 10 kluster dengan sembilan kluster dilaporkan di Daerah Kuching dan satu di Daerah Bintulu.
“Setakat hari ini, terdapat 10 kluster yang masih aktif iaitu Kluster Syarikat Kejuruteraaan (penambahan satu kes menjadikan jumlah lapan kes), Kluster Mambong (penambahan satu kes menjadikan jumlah enam kes) dan Kluster Pusat Perubatan (kekal tiga kes).
“Sementara itu Kluster Jupiter kekal dengan tiga kes, Kluster Pasar Stutong (kekal tujuh kes, Kluster Jeti Kuching (kekal dua kes), Kluster Sentosa (penambahan sembilan kes menjadikan jumlah 30 kes), Kluster PUI Melbourne (penambahan satu kes menjadikan jumlah tiga kes), Kluster Syarikat Pembinaan Kuching (kekal dua kes) dan Kluster Pasar Satok (empat kes),” jelasnya.
Uggah turut memaklumkan bahawa satu kes baru yang telah sembuh dan discaj dari hospital semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj sebanyak 564 orang atau 83.56 peratus.
“Seramai 92 orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital dan jumlah kematian 19 orang atau 2.81peratus.
“Hari ini sebanyak 39 orang yang disyaki (PUI) baru dilaporkan dan tiga kes masih menunggu ujian makmal,” tambahnya.