
MIRI: Satu projek menaik taraf bangunan Pasar Basah Bekenu atau dikenali sebagai Open Air Market kepada Pusat Kesejahteraan Sibuti di Bekenu sedang dijalankan.
Kerja-kerja pembaikan dan menaik taraf ini akan menelan kos sebanyak RM977,804 dan dijangka akan siap dalam tempoh 24 minggu.
Tarikh bermula projek pada 5 Jun 2025 dan dijangka siap pada 20 November 2025.
Bangunan ini akan direka bentuk dengan ciri-ciri terkini dan mesra alam, serta akan menyediakan
pejabat, bilik konsultasi, bilik mesyuarat, studio multimedia, ruang galeri, studio kecergasan dan gimnasium.
Pejabat Kesihatan Miri menerusi satu kenyataan media hari ini berkata, Pusat Kesejahteraan Sibuti merupakan satu inisiatif penting yang menawarkan perkhidmatan kesejahteraan dan kesihatan yang komprehensif dan bersepadu kepada komuniti setempat.
Menurut kenyataan itu, ia selari dengan halatuju Kementerian Kesihatan (KKM) untuk beralih daripada “Sick Care” kepada “Health Care” agar individu berkemahiran dalam penjagaan kesejahteraan kesihatan diri, keluarga dan komuniti.
“Pelaksanaan aktiviti di Pusat Kesejahteraan Sibuti ini akan menyokong Teras 2 di bawah Agenda
Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi memperluaskan perkhidmatan kesejahteraan dan kesihatan kepada komuniti dengan fokus kearah pencegahan faktor risiko kejadian penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, tinggi kolesterol dan sebagainya.
“Pusat Kesejahteraan Sibuti menyediakan perkhidmatan kesihatan yang dapat meningkatkan kemahiran dan menggalakkan perubahan tingkah laku hidup sihat melalui pembinaan kemahiran,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, antara perkhidmatan yang disediakan di Pusat Kesejahteraan Sibuti adalah seperti penilaian faktor risiko kesihatan, perkhidmatan berhenti merokok, pengurusan berat badan, runding cara budaya hidup sihat, kekal aktif, wellness studio, gimnasium dan galeri info sihat.
Katanya, komuniti setempat seperti golongan remaja, suri rumahtangga, warga emas termasuk golongan pekerja adalah golongan sasar dalam menggunakan kemudahan ini kelak.
Satu sesi lawatan tapak projek beserta taklimat projek bersama pihak kontraktor telah dihadiri oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni.
Oleh Liong Chai Ling