
KUALA LUMPUR: Mendaki memerlukan pakaian bersesuaian, namun sepasang pengantin baharu yang juga penggiat aktiviti lasak itu memilih mengenakan persalinan songket sebelum memanjat Bukit 527 di Salak Perdana, Sepang, Selangor bagi meraikan hari bahagia mereka di puncak berketinggian 192 meter tersebut.
Berlangsung dalam suasana santai berlatarkan alam semula jadi pada 5 April lepas, majlis persandingan penaung kumpulan Tebas Hikers, Rahmat Samad, 60 dan isteri Haniin Omar, 50 itu dihadiri oleh lebih 200 ahli kumpulan.
Haniin, ketika dihubungi Bernama, berkata idea bersanding di puncak bukit itu dicetuskan oleh rakan-rakan mereka dalam kumpulan berkenaan disebabkan oleh kekangan masa untuk mendapatkan lokasi majlis yang sesuai.
“Majlis kami sebenarnya majlis mengejut dan memang tidak sempat mencari dewan. Jadi, rakan-rakan mencadangkan agar diadakan di atas bukit memandangkan kemudahan seperti kanopi, surau dan tandas sudah tersedia.
“Majlis sememangnya dibuat untuk ahli Tebas Hikers yang aktif mendaki serta rakan-rakan daripada kumpulan lain yang turut dijemput,” katanya.

Majlis persandingan itu mencuri perhatian ramai selepas rakaman video yang dimuat naik ke media sosial oleh seorang daripada ahli Tebas Hikers tular.
Mengimbas pengalaman itu, anak kelahiran Muar, Johor itu berkata mendaki dalam busana pengantin menjadi antara momen paling diingati.
“Kami sudah biasa mendaki, jadi kalau pakaian seperti baju kurung atau baju Melayu, memang tiada masalah. Namun, apabila memakai songket yang lebih tebal dan ketat, pergerakan menjadi terhad dan kami perlu mendaki dengan lebih perlahan.
“Selalunya kami hanya mengambil masa sekitar 10 minit untuk sampai di puncak, tetapi pada hari itu mengambil kira-kira 35 minit,” katanya.
Seperti majlis perkahwinan lain, tetamu dijamu hidangan seperti nasi minyak, ayam masak merah, daging masak hitam, dalca, pajeri dan buah-buahan.
“Kami menempah makanan, tetapi untuk naik ke atas bukit kami angkut secara gotong-royong. Oleh kerana kami ramai, setiap orang membawa sedikit mengikut bahagian masing-masing,” kata Haniin.
Pasangan itu bernikah di Masjid Kariah Bukit Kadir, Nilai, Negeri Sembilan pada 4 April lepas dan merancang mengadakan majlis kesyukuran di Muar, Johor dalam masa terdekat.
Perkahwinan itu merupakan kali kedua bagi kedua-dua mempelai yang bertemu melalui aktiviti mendaki sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
“Anak-anak menyifatkan majlis ini sebagai sesuatu yang jarang dilihat, namun tetap memberi sokongan kerana kami berkongsi minat yang sama,” katanya.
-Bernama