LOS ANGELES/Chengdu: Dua panda gergasi, Yun Chuan dan Xin Bao tiba di California dari China semalam untuk kerjasama 10 tahun dengan Zoo San Diego, menandakan fasa baharu dalam usaha perlindungan panda antara China dan Amerika Syarikat (AS).
Yun Chuan, panda gergasi jantan berusia lima tahun dan Xin Bao, panda betina berusia empat tahun, dipilih dari Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Panda Gergasi China (CCRCGP), lapor Xinhua.
Mamalia itu berlepas dari Pusat Panda Bifengxia di Bandar Ya’an di wilayah Sichuan, barat daya China dengan penerbangan sewa khas pada petang kelmarin.
Pasangan panda itu yang transit melalui Hong Kong dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, ditemani oleh lima pembiak baka dan doktor haiwan yang berpengalaman.
Kedua-duanya yang pertama memasuki AS dalam lebih dua dekad, akan dibawa ke Zoo San Diego sebaik tiba di Los Angeles.
Panda gergasi itu akan dikuarantin selama sekurang-kurangnya 30 hari, mengikut prosedur standard dan tarikh penampilan awam akan diumumkan selepas pasukan penjagaan haiwan merasakan mereka bersedia untuk bertemu pengunjung.
CCRCGP telah menjalankan kerjasama penyelidikan saintifik dengan Zoo San Diego selama lebih 25 tahun, dengan hasil yang memberangsangkan dalam perlindungan, pembiakan dan kawalan penyakit panda gergasi, serta pendidikan awam berkaitan.
Sebagai simbol kerjasama, Yun Chuan ialah anak kepada Zhen Zhen, yang dilahirkan di Zoo San Diego pada tahun 2007 dan cucu kepada Bai Yun, yang tinggal di zoo berkenaan selama lebih 20 tahun.
Bai Yun yang berusia 27 tahun dan anaknya, Xiao Liwu, dua ekor panda gergasi terakhir di Zoo San Diego, dihantar pulang ke China pada tahun 2019 setelah perjanjian pemuliharaan terakhir zoo dengan China tamat.
Sementara itu, ramai penduduk San Diego serta kakitangan zoo menantikan kedatangan semula ikon zoo yang dicintai itu.
“Kami sangat teruja untuk menyambut Yun Chuan dan Xin Bao ke dalam keluarga Zoo San Diego,” kata Paul Baribault, presiden dan ketua pegawai eksekutif untuk San Diego Zoo Wildlife Alliance, dalam satu kenyataan media. – Bernama – Xinhua