Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Pasangan muda bukti kesedaran kewangan buka jalan ke Makkah
  • INSPIRASI

Pasangan muda bukti kesedaran kewangan buka jalan ke Makkah

Utusan Sarawak 13 hours ago
SUAMI isteri Muhammad Asyraf Redzuan (kanan) dan Hana Shahira Abdul Halim (kiri) antara jemaah haji yang akan berangkat ke tanah suci untuk menunaikan Ibadah Haji 1446H/2025M ketika Liputan Penerbangan Jemaah Haji ke Tanah Suci di Kompleks Haji hari ini. Foto Bernama

SEPANG: Muhammad Asyraf Redzuan, 30, menyatakan bahawa sejak berumur lima tahun, ibunya telah mengajarnya untuk menabung iaitu setiap sambutan Hari Raya, duit raya yang diperolehnya akan terus dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji.

Kini, hasil daripada amalan tersebut, beliau dalam perjalanan menunaikan ibadah haji bersama isteri tercinta.

Bagi pasangan ini, rezeki menunaikan haji pada usia masih muda adalah bukti nyata bagaimana celik kewangan dan amalan menabung sejak kecil mampu membuka jalan ke Tanah Suci.

Muhammad Asyraf dan isterinya, Hana Shahira Abdul Halim, 30, baru sahaja melangsungkan perkahwinan awal tahun ini, namun rezeki melangkaui jangkaan apabila Muhammad Asyraf mendapat tawaran menunaikan haji ketika masih bertunang dan Hana Shahira pula berjaya dalam rayuannya selepas mereka bernikah.

“Suami dapat panggilan haji semasa tempoh pertunangan dahulu. Jadi saya buat rayuan dan selepas bernikah rayuan saya diterima, syukur sangat,” kata Hana Shahira yang kelihatan terharu ketika ditemui Bernama dan RTM di Stesen Berlepas Jemaah Haji di Hotel Movenpick di sini hari ini.

Pasangan muda itu mengakui mereka tidak pernah menjangka akan dijemput menjadi tetamu Allah secepat ini, namun hasil simpanan Tabung Haji yang dikumpul sejak kecil membolehkan segala persiapan diselesaikan dengan lancar. 

“Ibu saya yang buka akaun Tabung Haji masa saya umur empat tahun. Setiap kali raya, duit raya memang terus masuk dalam akaun, menabung penting sebenarnya,” kata Muhammad Asyraf yang bertugas di Sabah dan sering berjauhan dengan isterinya.

Bagi mereka, peluang mengerjakan ibadah haji bukan sekadar tuntutan agama tetapi juga simbol penyatuan dan permulaan baharu dalam rumah tangga mereka, di samping mengeratkan lagi hubungan sebagai suami isteri.

Kisah mereka menjadi bukti bahawa usaha menyimpan sejak kecil, walaupun sedikit demi sedikit akhirnya mampu membawa kepada pencapaian besar dalam hidup.

Ia juga satu peringatan bermakna buat ibu bapa dan anak muda bahawa hasrat untuk menuaikan haji mampu jadi kenyataan melalui niat yang ikhlas disertai dengan usaha dan perancangan kewangan yang baik.

“Menabung bukan sekadar simpan duit. Ia simpan harapan dan impian,” kata Hana Shahira sebelum meneruskan perjalanan ke Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi menaiki pesawat ke Tanah Suci.

Pasangan tersebut antara 355 jemaah daripada Kumpulan Penerbangan (KT) 40 yang berlepas ke Madinah petang ini.

Setakat ini, 12,030 jemaah daripada jumlah keseluruhan 31,600 jemaah Malaysia telah selamat tiba di Madinah.

-Bernama

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Eksklusif Hari Jururawat: Lelaki juga penjaga harapan di wad pesakit
Next: GenKRU terima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.