
SEJARAH pilihan raya umum (PRU) di Sarawak bermula pada 1969.
Ketika itu parti yang dominan adalah Perikatan Sarawak. Kemudian Barisan Nasional (BN) dibentuk dan ia menjadi wadah penting yang mendominasi politik Sarawak pada abad ke-20.
Sejarah pembentukan Perikatan Sarawak pada awalnya untuk menyokong penubuhan Malaysia.
Ketika itu parti-parti politik Sarawak yang terdiri dari Parti Negara Sarawak (Panas), Barisan Jati Rakyat Sarawak (Barjasa), Pesaka Anak Sarawak (Pesaka) dan Persatuan Cina Sarawak (SCA) telah menyertai gabungan Perikatan Sarawak, yang menghadapi kelebihan dan kelemahan serentak apabila menghadapi PRU 1969.
Kelebihan Perikatan Sarawak ketika itu adalah pembentukan gabungan baharu antara Panas dan Barjasa pada 1966 membentuk Parti Bumiputera.
Kelemahan Perikatan Sarawak pula ialah apabila Bumiputera yang dibentuk mendapat saingan daripada rakan komponen iaitu Pesaka.
Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) pula keluar Perikatan Sarawak akibat krisis 1966 di Sarawak.
Oleh itu Perikatan Sarawak terpaksa berdepan dengan Pesaka dan SNAP serta Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).
Akibatnya keputusan PRU 1969 yang dilanjutkan pada 1970 memaparkan perpecahan undi Perikatan Sarawak dan disaingi hebat oleh SNAP dan SUPP.
Perikatan Sarawak dan Pesaka hanya memperoleh sembilan kerusi, manakala SNAP dan SUPP memenangi 14 kerusi dengan SNAP menjadi pemegang kerusi terbesar iaitu sembilan.
Satu kerusi dimenangi calon Bebas.
Membina kekuatan
Awal 1970-an berlaku pergabungan antara Parti Bumiputera dan Pesaka membentuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Ketika itu juga idea pembentukan perikatan baharu diumumkan oleh Tun Abdul Razak Hussein iaitu Barisan Nasional (BN).
Parti gabungan Perikatan Sarawak mula menyertai BN bersama-sama SUPP.
BN menghadapi tentangan hebat pada pilihan raya 1974 dari SNAP.
Parti-parti kecil lain yang turut bertanding adalah parti Bisamah Sarawak Unity (Bisamah) dan beberapa calon Bebas.
Pilihan raya ini menyaksikan BN mampu meraih sokongan kuat rakyat walaupun SNAP berjaya mengekalkan kerusi yang mereka menangi dalam pilihan raya sebelum itu.
Selepas pilihan raya itu, SNAP bersetuju menyertai BN. Penyertaan SNAP ini membawa kepada kekuatan padu BN dalam pilihan raya 1979.
Cabaran baharu
Penyertaan SNAP dalam BN telah memperkukuhkan kedudukan kerajaan negeri Sarawak apabila berdepan dengan kemunculan Parti Anak Jati Sarawak (Pajar) pada PRU 1978.
DAP buat pertama kalinya bertanding di dalam PRU di Sarawak.
Pajar dan DAP gagal memenangi sebarang kerusi dan BN Sarawak tetap gah dengan memenangi 23 kerusi dengan tiga kerusi Parlimen menang tanpa bertanding.
Satu kerusi dimenangi calon Sarawak People’s Organization (SAPO).
Kejayaan SAPO ini kerana berjaya meraih sokongan pengundi di Miri dengan menentang usaha penyerahan hak minyak kepada Petronas.
Namun demikian SAPO gagal kekal lama apabila berlaku pepecahan dan gagal mempertahankan kerusinya pada PRU 1982.
Dalam PRU itu BN Sarawak berjaya memenagi enam kerusi tanpa bertanding dan menang di 13 kerusi Parlimen.
Ketika itu berlaku pepecahan dalam SNAP yang membawa kepada pembentukan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).
DAP pula berjaya memenangi kerusi pertamanya apabila menang di bandar Kuching dan Sibu. Calon Bebas memenangi tiga kerusi Parlimen.
Namun demikian BN Sarawak kembali bangkit dalam PRU pada 1986 apabila berjaya memenangi 19 kerusi dan dua kerusi menang tanpa bertanding.
DAP hanya mampu mengekal satu kerusi, manakala calon Bebas menang dua kerusi sahaja.
Krisis negeri
BN Sarawak mengalami krisis politik apabila berlaku pepecahan dalam PBB dengan kemunculan Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (Permas). PBDS juga mencabar kewibawaan BN Sarawak di kawasan majoriti Dayak.
Walaupun kedua-dua parti ini gagal mengalahkan BN Sarawak dalam pilihan negeri 1987 tetapi Permas mencabar BN Sarawak dalam PRU pada 1990.
PBDS walaupun menjadi pembangkang peringkat negeri tetapi masih menjadi anggota BN peringkat persekutuan.
Keputusan pilihan raya ini menunjukkan BN Sarawak masih lagi kekal kuat walaupun DAP menambah semula kerusinya kepada dua kerusi Parlimen dan calon Bebas menang empat kerusi Parlimen.
Permas pula gagal memenangi sebarang kerusi dan mula dibubarkan pada 1990-an.
Zaman tenang
BN Sarawak kembali menyerlah dalam PRU 1995 apabila perbalahan BN Sarawak dengan PBDS mula reda. PBDS telah diterima kembali sebagai anggota komponen BN Sarawak.
Oleh itu keputusan pilihan raya umum itu menyaksikan sembilan kerusi Parlimen Sarawak dimenangi tanpa bertanding oleh BN Sarawak.
Keputusan akhir pilihan raya ini menyaksikan BN Sarawak memenangi 17 kerusi dan secara keseluruhannya BN Sarawak memperoleh 26 kerusi.
Ini bermakna BN Sarawak berjaya menguasai 96 peratus kerusi Parlimen Sarawak. DAP hanya mampu memenangi satu kerusi.
Krisis nasional
Politik Sarawak juga terpalit dengan apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia pada akhir 1990-an.
Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan usaha penentangan kuat ke atas BN di peringkat pusat dan negeri.
Parti pimpinan Anwar iaitu Parti Keadilan Nasional (PKN) bersatu dengan DAP dan Parti Islam Semalaysia (PAS).
Ketika itu juga berlaku krisis dalam SNAP yang membawa kepada pembentukan Parti Reformasi Negeri (STAR) oleh Dr. Patau Rubis.
Semasa penamaan calon dalam pilihan raya 1999, hanya seorang calon BN Sarawak menang tanpa bertanding iaitu di Betong, manakala PKN dan PAS bertembung di Batang Sadong.
Beberapa calon Bebas juga mengalami nasib sama dalam pilihan raya itu.
Jika dilihat keputusan PRU itu, ternyata BN Sarawak tidak terguggat dengan krisis nasional.
Yang menariknya BN Sarawak memenangi kesemua kerusi Parlimen.
Ini kejayaan paling manis bagi BN Sarawak kerana sebelum ini mereka tidak pernah memenangi kesemua kerusi Parlimen Sarawak.
Kejayaan BN Sarawak ini merupakan satu yang dicipta sejak awal penubuhan Malaysia.
Ini kerana parti-parti di Sarawak memerlukan kerjasama semua kaum untuk membentuk sebuah kerajaan bersatu dan stabil.
Hal ini terus dibawa dalam abad berikutnya. Hal ini akan dibicarakan pada wacana minggu depan.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).