KUALA LUMPUR: Satelit menerusi program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN) dijangka mula beroperasi pada awal 2028, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Beliau berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan program PSPJN yang akan dilaksanakan melalui kaedah kerjasama awam–swasta bagi membuka peluang kepada sektor swasta terlibat dalam pembangunan satelit pada 14 Ogos 2019.
“Pada tahun lepas, kerajaan bersetuju meluluskan cadangan Hala Tuju Program PSPJN dengan beberapa penambahbaikan bagi memastikan tahap kejayaan program yang lebih tinggi dan berupaya memberi impak lebih meluas kepada pertumbuhan ekonomi dan keupayaan negara sebagai peneraju teknologi angkasa pada peringkat serantau,” katanya.
Chang menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) sama ada kementerian akan menggunakan model kerjasama awam–swasta untuk projek PSPJN tanpa peruntukan khas dalam belanjawan negara, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. – Bernama