KUALA LUMPUR: Parlimen Malaysia dan Parlimen Perancis berhasrat untuk membentuk satu Jawatankuasa Bersama berkenaan Demokrasi dan Hak Asasi Manusia bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan pengalaman demokrasi.
Menerusi kenyataan Bahagian Komunikasi Parlimen Malaysia semalam, perkara itu adalah antara inti pati kunjungan hormat delegasi Parlimen Perancis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Datuk Seri Dr Rais Yatim di Bangunan Parlimen, Isnin lalu.
Menurut kenyataan itu, kunjungan hormat itu bermatlamat untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala yang sedia wujud antara institusi Parlimen dua negara berkenaan.
“Persefahaman turut terbentuk untuk menghantar dan menerima pegawai-pegawai Parlimen dari kedua-dua belah pihak untuk mempelajari sistem pentadbiran dan perundangan Parlimen masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Pertemuan itu antara lain juga menyentuh isu tindakan sekatan dan halangan perdagangan yang dikenakan Perancis dan Kesatuan Eropah terhadap pasaran minyak sawit serta kepentingannya sebagai sumber kewangan negara secara menyeluruh.
Selain itu, turut dibincangkan ialah hasrat mewujudkan satu proses dialog dalam mempelajari sistem perundangan dan pembahagian kuasa di Malaysia (antara kerajaan Persekutuan dan negeri); peranan Parlimen sebagai tonggak demokrasi dan suara rakyat; penglibatan generasi muda dalam politik dan pentadbiran negara serta pembentukan persefahaman (budaya dan agama) antara negara barat dan timur.
Delegasi seramai enam orang itu diketuai Presiden Kumpulan Persahabatan Antara Parlimen Perancis-Asia Tenggara Mathieu Darnaud.
Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon serta dua Ahli Dewan Negara Senator Datuk Koh Nai Kwong dan Senator Datuk Bobbey Ahfang Suan, serta Setiausaha Dewan Negara Mohd Sujairi Abdullah dan Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin. – Bernama