KUCHING: Kerajaan MADANI dicadangkan untuk memperkenalkan program orientasi kenegaraan nasional atau program kewarganegaraan kebangsaan.
Ahli Dewan Negara, Senator Dato Ahmad Ibrahim berkata langkah itu penting bagi membantu anak-anak yang dilahirkan di luar negara yang ingin memohon kewarganegaraan menguasai Bahasa Melayu.
“Memang benar syarat tambahan ini perlu tetapi dalam masa yang sama kita harus membantu mereka dengan budi bicara yang ada pada pegawai-pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berwibawa agar mereka ini tidak lagi tercicir dari sah taraf kewarganegaraan.
“Seperti mana di Amerika Syarikat, pemohon kewarganegaraan harus memahami Bahasa Inggeris dan perlu menduduki ujian Sivik dan ujian Bahasa Inggeris.
“Justeru, sebagai langkah praktikal kerajaan boleh memperkenalkan program orientasi kenegaraan nasional atau program kewarganegaraan kebangsaan yang merangkumi kursus asas Bahasa Malaysia, pemahaman budaya berbilang kaum, agama dan nilai-nilai budaya tempatan yang berteraskan kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam Perbahasan RUU Perlembagaan (Pindaan) Kewarganegaraan 2024 di Dewan Rakyat, semalam.
Menjelas lanjut, beliau berkata langkah itu bukan sekadar satu keperluan teknikal malah, satu mekanisme penting untuk emnanam rasa cinta dan penghormatan kepada negara.
Tambahnya, Kementerian Perpaduan dicadangkan untuk merangka strategi itu bersama Kementerian Dalam Negeri .
Dalam pada itu, katanya kerangka RUU tersebut yang mencadangkan pindaan kepada Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan juga penting untuk menjamin keadilan sosial.
“Selain itu, ia juga penting untuk memperkukuh semangat kesetiaan kepada negara.
“Pada asasnya, ini amat penting untuk kita mendidik, memupuk dan melahirkan warganegara yang setia kepada negara,” ujarnya.