SEBAGAI sebuah negara demokrasi Dewan Rakyat atau dikenali sebagai Parlimen adalah badan perundangan bagi Kerajaan Persekutuan yang melulus dan meminda undang- undang Persekutuan, memeriksa dasar-dasar kerajaan serta meluluskan bajet kerajaan dan cadangan cukai baharu.
Parlimen memainkan peranan penting dalam sistem demokrasi dengan pelbagai fungsi yang penting. Terdapat lapan fungsi Parlimen yang terserlah secara tersurat dan tersirat dalam demokrasi berparlimen.
Meluluskan Undang-Undang Dan Pengawasan Kerajaan
Parlimen berfungsi sebagai membentuk dan meluluskan undang-undang untuk mengatur pelbagai aspek kehidupan masyarakat seperti undang-undang jenayah, Undi18, Akta Pencegahan Jenayah (POCA), undang-undang pendidikan, undang-undang perniagaan, dan sebagainya. Perkara ini dilakukan agar undang-undang tersebut mampu memelihara keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Fungsi parlimen penting untuk memantau perjalanan pentadbiran kerajaan. Ia dikenali juga sebagai berfungsi ‘semak dan imbang’ dalam kerajaan. Dengan bertanyakan soalan kepada menteri kerajaan dalam sesi soal jawab di Parlimen, tindakan ini penting untuk mendapatkan maklumat mengenai pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.
Ahli Parlimen dapat melakukan semakan terhadap prestasi kerajaan dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, kesihatan, keselamatan dan pendidikan. Jika Parlimen ditutup misalnya ketika darurat, aspek semak dan imbang sukar dilaksanakan dan boleh menyebabkan berlaku penyelewengan seperti isu Jana Wibawa dan pembelian vaksin berlebihan tanpa pemantauan.
Membahas Isu Utama Dan Mewakili Suara Rakyat
Parlimen merupakan tempat pembahasan isu-isu utama negara. Misalnya, Parlimen mengadakan perbahasan terbuka tentang isu-isu penting perubahan iklim seperti banjir besar, fenomena El Nino, kesihatan awam seperti Covid-19, kesan projek nadir bumi dan impak ekonomi dunia, inflasi, kenaikan harga beras import dan isu telur. Ini membolehkan Ahli Parlimen membawa isu-isu ini ke perhatian awam dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk rakyat.
Parlimen mewakili suara-suara rakyat yang diwakili oleh wakil rakyat dipilih oleh pengundi dalam kawasan pilihan raya untuk mewakili kepentingan dan pandangan rakyat mereka. Isu sekolah daif di Sabah dan Sarawak, isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), isu menara komunikasi bercambah tetapi tidak ada internet misalnya. Ahli Parlimen bertanggungjawab akan membawa suara rakyat ke dalam Parlimen dan berusaha untuk memenuhi janji-janji kempen mereka.
Penggubalan Dasar Dan Pengagihan Sumber
Parlimen berperanan dalam pembentukan dasar-dasar negara. Dasar ini boleh berkaitan dengan ekonomi, pendidikan, kesihatan awam, keselamatan dan banyak lagi. Parlimen boleh memutuskan perbelanjaan tambahan kerajaan dan mengawasi pelaksanaan dasar kewangan (fiskal) dilakukan dengan berhemat.
Parlimen berfungsi sebagai puncak kuasa pengagihan sumber belanjawan negara yang mengagihkan sumber-sumber negara kepada pelbagai bidang seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan pertahanan. Belanjawan ini mencerminkan prihatin kepada keperluan rakyat dan aspirasi negara.
Pendidikan Awam, Kesedaran, Pemilihan Dan Penyelidikan
Tidak mengetahui Parlimen juga boleh menjadi sumber pendidikan awam dan kesedaraan. Wadah ini penting untuk mendidik rakyat mengenai proses politik, hak dan tanggungjawab mereka dan isu-isu penting dalam masyarakat.
Usaha untuk mengadakan sidang Parlimen yang disiarkan secara terbuka membantu meningkatkan kesedaran awam. Parlimen juga dapat membentuk jawatankuasa khas untuk menyiasat isu-isu tertentu seperti skandal rasuah atau pelanggaran hak asasi manusia. Jawatankuasa ini dapat menjalankan penyelidikan dan memberikan laporan kepada Parlimen.
Inilah yang terdapat pada kewujudan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen yang berfungsi untuk menyiasat, mengumpul maklumat dan menghasilkan laporan urusan kewangan negara dan memastikan pengurusan serta pentadbiran kewangan negara ditadbir secara telus, baik dan sempurna.
PAC umpama audit dalaman syarikat tetapi ia bertanggungjawab kepada rakyat kerana kuasanya datang daripada rakyat. Dalam PAC, ada wakil rakyat pembangkang yang menjadi anggota, bukan wakil rakyat kerajaan saja. Maka, suara rakyat dipelihara dalam PAC.
Jawatankuasa-Jawatankuasa Parlimen
Sehingga ini Kerajaan Perpaduan telah menubuhkan sepuluh Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) merangkumi JKPK Kewangan dan Ekonomi, JKPK Kesihatan serta JKPK Perdagangan dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian. JKPK Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi; JKPK Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, JKPK Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat serta JKPK Alam Sekitar, Sains dan Perladangan.
JKPK Keselamatan, JKPK Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa serta JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi. Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian Parlimen misalnya mengesyorkan peruntukan Program Jualan Rahmah ditingkatkan bagi 2024.
Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan pula misalnya berfokus terhadap Kertas Putih Kesihatan dan Rang Undang-Undang (RUU) Generasi Penamat (GEG). Jawatankuasa dasar Generasi Penamat Rokok (GEG) misalnya membincangkan isu dan perspektif generasi muda diberi hak mengundi seawal usia 18 tahun tetapi tidak diberikan hak untuk bebas memilih dalam isu merokok. Kertas Putih Kesihatan pula meliputi pelbagai aspek kesihatan negara untuk menjadi reformasi kepada sistem kesihatan Malaysia yang lebih baik dan mencapai matlamatnya.
Jawatankuasa Berfungsi
Sepertimana PAC yang lebih dikenali berbanding JKPK-JKPK yang baharu ditubuhkan, ia juga mempunyai fungsi yang sama, iaitu sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kementerian berkaitan. Penubuhan ini menunjukkan kesedaran untuk mengkhusus isu-isu dan memperdalami segala permasalahan dan mencari penyelesaian dengan lebih sistematik, terperinci dan menyediakan cadangan penyelesaian daripada isu semasa rakyat berbangkit.
Keprihatinan terhadap isu yang pelbagai yang dianggotai ahli-ahli parlimen yang bersesuaian, mampu memberikan perspektif yang lebih menyeluruh terhadap Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) yang dianggotai dan ditubuhkan itu.
Terdapat juga usaha yang lebih kedepan apabila terdapat persetujuan bagi penubuhan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia untuk memastikan parlimen lebih dinamik dan proaktif dalam berdepan dengan isu-isu semasa rakyat untuk mendapatkan penyelesaian bersama dan semua ahli parlimen termasuk pembangkang menyertainya sebagai komitmen bersama menangai isu rakyat. Langkah ini menunjukkan Kerajaan Perpaduan lebih terbuka dan dinamik untuk memastikan semua pihak dilibatkan bagi membina negara.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).