PERDANA Menteri telah membuat pengumuman khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara pada lewat petang kelmarin menerusi saluran televisyen dan media sosial.
PERDANA Menteri telah menjawab teka-teki tarikh pembubaran Parlimen setelah pelbagai spekulasi berterusan di pasaran politik. Sebelum ini, ada menyatakan hanya akan diadakan selepas perayaan tahun baru Cina dan sebelum Hari Raya.
Terdapat pula spekulasi ia hanya diadakan apabila tempoh tamat Parlimen selepas lima tahun pada 15 Julai 2023 atau selewat-lewatnya pada 13 Julai tahun depan.
Namun Barisan Nasional (BN) mempunyai strategi mereka sendiri selain tekanan dihadapi blok parti itu dalam persekitaran politik. BN yang berpeluang memegang jawatan Perdana Menteri berasa kuasa yang ada pada masa kini agak terbatas. Perkongsian kuasa dengan parti seperti PAS dan BERSATU mengehadkan BN daripada mempunyai kuasa dominan dan menyeluruh.
Ketidakselesaan ini menyebabkan wujud beberapa perbezaan pendapat hingga diketahui awam apabila kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin BERSATU dan PAS.
Strategi BN
BN sangat arif dalam arus politik dan pengalaman pernah mentadbir negara berdekad-dekad lamanya. Mereka sudah masak dengan dunia politik, percaturan politik, turun naik dalam politik, sepak terajang dalam politik, mampu membaca sentimen semasa malah tahu bertindak apabila tiba masanya.
Hal ini dimatangkan lagi apabila pernah kalah pilihan raya umum buat pertama kali dalam sejarah negara. Maka, Perdana Menteri telah membuat pengumuman khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara pada lewat petang kelmarin menerusi saluran televisyen dan media sosial.
Pengumuman itu menyatakan beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada baginda, mengenai pembubaran Parlimen ke-14.
Maka, selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan permintaan Perdana Menteri supaya Parlimen dibubarkan berkuatkuasa Isnin 10 Oktober 2022, selepas selepas Perdana Menteri mengadap sembah tersebut.
Pengumuman itu menamatkan pelbagai andaian kononnya, Kabinet perlu berbincang terlebih dahulu sebelum pembubaran Parlimen. Memang ada persoalan mengenai idea dan keperluan mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk pembubaran dewan. Namun tidak pernah berlaku sejak kemerdekaan negara, Perdana Menteri membincangkan mengenai pembubaran Parlimen dengan Kabinet.
Hal ini kerana kuasa dan hak menentukan cadangan tarikh pembubaran Parlimen adalah di bawah budi bicara Perdana Menteri dan bergantung kepada perkenan atau kelulusan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen atau sebaliknya. Yang di-Pertuan Agong boleh menerima atau menangguhkan permohonan daripada Perdana Menteri yang kuasa seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Fakta ini banyak dikelirukan oleh segelintir anggota Kabinet sendiri yang dilihat sengaja memutarbelitkan fakta kononnya perlu persetujuan bersama Kabinet sebelum pembubaran Parlimen adalah jelas untuk memperlihat terdapat ahli Kabinet yang masih mengekalkan kedudukan kerana bimbang tidak berpeluang lagi menyertai Kabinet selepas itu.
Malah terdapat juga kalangan penganalisis tersasar pandangan dengan menyatakan kuasa bukan hanya terletak di tangan Perdana Menteri secara individu, tetapi secara kolektif melalui persetujuan Kabinet. Kenyataan ini terlalu lemah.
Kekecewaan Ketua Negara
Bagi Yang di-Pertuan Agong pula, baginda berkenan untuk bertemu Perdana Menteri di Istana Negara dalam sesi bersemuka yang tidak dijadualkan bermula jam 12.00 tengah hari Ahad lalu. Dalam pertemuan itu, dilaporkan Perdana Menteri telah mengemukakan permohonan untuk mendapat perkenan bagi pembubaran Parlimen ke-14 .
Sebagaimana dicatatkan oleh pengelola Istana Negara, apabila telah diperhalusi permintaan tersebut, baginda berkenan meluluskan pembubaran. Namun dalam kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Pengelola Istana Negara, dilaporkan baginda melahirkan rasa kecewa dengan politik semasa dan tidak mempunyai pilihan selain bersetuju dengan permintaan Perdana Menteri untuk mengembalikan mandat kepada rakyat memilih kerajaan yang stabil.
Baginda juga menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 dalam masa terdekat dengan mengambil kira musim tengkujuh yang dijangka bermula pada pertengahan November 2022.
Faktor kekecewaan
Sekiranya diamati kenyataan tersebut, Tuanku menzahirkan rasa kecewa akan perkembangan politik semasa dan memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil apabila melihat kerajaan Perikatan Nasional yang sering mengkritik sesama mereka dan ini menyebabkan populariti di mata rakyat dan Istana terjejas.
Misalnya, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidddin Yassin secara terbuka membidas kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob, yang dilihatnya gagal memperjelas isu negara dan tidak memandang semua isu membelenggu negara ketika ini termasuk inflasi, kekurangan tenaga kerja dan kemerosotan nilai ringgit sebagai sesuatu yang penting.
Bekas Perdana Menteri itu menyatakan sekiranya terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, maka elok diadakan pilihan raya supaya sebuah kerajaan baru lebih cekap dan prihatin. Ismail Sabri pula membalas bahawa semua pihak termasuklah Muhyiddin yang berperanan sebagai Pengerusi MPN turut bertanggungjawab sekiranya kerajaan didakwa gagal dalam menguruskan ekonomi dan negara dengan baik. Perdana Menteri juga menyatakan pengurusan ekonomi dijaga oleh Mustapa Mohamed dari BERSATU manakala MPN dipengerusikan oleh Muhiyiddin sendiri.
Perebutan jawatan
Begitu juga tuntutan jawatan timbalan perdana menteri oleh BERSATU berdasarkan perjanjian dengan Ismail Sabri sebelum menjadi Perdana Menteri. Sepatutnya isu ini tidak timbul dan perlu lebih fokus kepada membaiki ekonomi negara yang baru pulih selepas impak Covid-19 terhadap negara dan urutan kronologi inilah mengecewakan Yang di-Pertuan Agong.
Selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin menjelaskan kewujudan perjanjian mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kouta anggota Kabinet yang ditandatangani oleh beliau, bersama-sama Ismail Sabri dan disaksikan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Tan Sri Annuar Musa.
Draf perjanjian itu digubal oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk pemberian jawatan menteri, Pengerusi GLC serta Timbalan Perdana Menteri. Perjanjian tersebut juga bersetuju untuk mencalonkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU-15.
Selain itu, penyegeraan kes Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pengekalan peguam negara adalah antara terkandung dalam perjanjian berkenaan. Namun perjanjian sulit itu tidak diketahui Tan Sri Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS dan kepemimpinan tertinggi UMNO sendiri.
Apabila isu ini terbongkar, Perdana Menteri menyatakan ia cerita lama tanpa menafikan kebenaran yang terkandung dalam perjanjian berkenaan.
Ketidaksehaluan Kabinet
Apabila 12 Menteri Perikatan Nasional menulis watikah kepada Yang di-Pertuan Agong tidak bersetuju pilihan raya umum diadakan pada tahun ini, maka ini ‘menikam belakang’ Perdana Menteri yang memilih mereka sebagai Menteri untuk lantikan Yang di-Pertuan Agong.
Usaha seperti membabitkan Istana sepatutnya boleh diselesaikan menggunakan saluran Kabinet yang ada. Apabila tidak ada konsensus, terdapat bantahan dalam kalangan anggota Kabinet sendiri secara terbuka daripada 12 Menteri Perikatan Nasional, ini sebenarnya kehilangan kepercayaan atau keabsahaan kuasa.
Namun jika Perdana Menteri pecat yang menentang ini, maka boleh hilang kuasa dan berlaku undi tidak percaya dan berlaku pelbagai urutan perkara lagi. Bagi mengelakkan situasi ini semakin kompleks, maka memohon perkenan pembubaran Parlimen adalah jalan terbaik sebagai jalan keluar.
Berdasarkan situasi ini, inilah rasional kekecewaan oleh Yang di-Pertuan Agong, justeru baginda berkenan untuk pembubaran Parlimen dan mahu kerajaan yang lebih stabil. Menurut baginda, negara yang kukuh adalah penting untuk menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat keseluruhannya.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)