KUALA LUMPUR: Tiga projek pembangunan sempadan Sarawak dengan kos RM7.6 juta di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah siap dilaksanakan setakat 29 November lepas.
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata empat projek di bawah Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan kos RM47.6 juta dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini, manakala baki 10 projek lain masih dalam pelaksanaan.
“Sebanyak 37 projek baharu pembangunan sempadan Sarawak telah diluluskan di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tahun hadapan dengan kos berjumlah RM622.02 juta.
“Ia meliputi 27 projek di bawah KDN, sembilan di bawah MINDEF dan satu di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) yang ingin tahu mengenai penggunaan peruntukan RM1 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menaik taraf kawasan sempadan Malaysia-Indonesia di Sarawak.
Hanifah berkata menerusi 37 projek baharu itu, antara kerja yang akan dilaksanakan ialah perolehan aset kelengkapan pos sempadan, pembinaan infrastruktur kegunaan kawalan keselamatan sempadan dan pembinaan bekalan elektrik solar.
Mengambil kira peruntukan bagi projek pembangunan Sabah, Sarawak dan Kalimantan dari 2023 hingga 2024, beliau berkata peruntukan diluluskan Kementerian Ekonomi telah melebihi RM1 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri.
Beliau berkata peruntukan RM1 bilion yang diumumkan pada Januari 2023 itu adalah bagi membangunkan infrastruktur keselamatan dan asas seperti Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), jalan perhubungan rentas sempadan serta pembangunan rentas sempadan.
Ia merupakan antara persiapan bagi mengimbangi pembangunan yang bakal berlaku apabila ibu kota Indonesia dipindahkan ke Nusantara di Kalimantan kelak.
Menjawab soalan tambahan Richard Riot berhubung status ICQS Tebedu di Sarawak, Hanifah berkata ia masih belum dimulakan dan kini dalam peringkat fasa reka bentuk. – Bernama