PARIS: Pencapaian jaguh olahraga para negara Datuk Abdul Latif Romly yang membawa pulang perak lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik Paris 2024 pastinya sesuatu yang pahit untuk ditelan kontinjen negara di sini semalam.
Keputusan tersebut menyaksikan kontinjen negara gagal menepati sasaran empat emas dilaungkan sebelum ini biarpun atlet powerlifting negara Jong Yee Khie muncul atlet terakhir negara berpeluang menambah koleksi pingat dalam kategori lelaki 107 kilogram (kg) di Porte de La Chapelle Arena sebelum Paris 2024 melabuhkan tirainya hari ini.
Lebih memeritkan, saingan di Stade de France menyaksikan pingat emas bagaikan sudah berada dalam genggaman Latif Romly sebelum dipintas saat akhir oleh Matvei Iakushev yang bertanding atas tiket Atlet Paralimpik Neutral menerusi catatan 7.51 meter (m) pada percubaan terakhir.
Pemenang emas Rio 2016 dan Tokyo 2020 Latif Romly terpaksa berpuas hati dengan pingat perak menerusi catatan terbaik 7.45m yang juga rekod musim terbaiknya pada percubaan ketiga manakala baki tiga percubaan akhirnya dibatalkan.
Catatan dilakukan atlet dari Perlis itu juga agak jauh dengan rekod Paralimpik ketika merangkul emas sulung di Rio 2016 (7.60m) apatah lagi dengan rekod dunianya (7.64m) pada Sukan Para Asia 2018 di Indonesia.
Sementara itu, Yee Khie berdepan cabaran hebat kembali ke podium selepas merangkul perak di Tokyo 2020 dengan beliau kini berkedudukan kelima terbaik dunia dengan jumlah angkatan terbaik 230kg.
Jurang jumlah angkatannya juga terlalu jauh dengan pilihan utama dari Iran, Aliakbar Gharibhashi yang turun ke Paris 2024 berbekalkan angkatan terbaik dan rekod dunia kategori tersebut iaitu 254kg pada Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Fazza di Dubai pada 2022.
Rakan sepasukannya Nicodemus Manggoi Moses tidak berjaya menjelmakan pingat buat Malaysia apabila berada di kedudukan ketujuh bagi acara lelaki 97kg.
Atlet dari Kuching itu hanya melakukan angkatan 210kg pada percubaan pertama manakala dua lagi percubaannya dibatalkan.
Dalam pada itu, pelumba berbasikal para negara Muhammad Adi Raimie Amizazahan mencapai sasaran ditetapkan dengan berada dalam kelompok 20 pelumba teratas bagi perlumbaan lebuh raya lelaki C1-3 (kecacatan fizikal).
Pelumba berusia 23 tahun yang membuat penampilan pertama di pentas Paralimpik menamatkan perlumbaan sejauh 71 kilometer di Clichy-sous-bois dengan menduduki tangga ke-16 dengan catatan masa 1 jam 56 minit 23 saat (s).
Seorang lagi wakil negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin pula mengakhiri cabarannya di sini dengan berada di tempat ke-26 dengan catatan masa 2:08:46s.– BERNAMA
Gambar
Atlet powerlifting negara dari Sarawak Jong Yee Khie