PARIS: Atlet para negara, Abdul Razzaq Abdul Rahman dan Noor Askuzaimey Mat Salim menampilkan persembahan cemerlang mengatasi Artem Kolinko-Nataliia Konenko dari Ukraine untuk menghidupkan peluang mara ke suku akhir beregu campuran BC4 (kecacatan fizikal) pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini, hari ini.
Bertempat di South Paris Arena 1, pasangan negara bermula hambar apabila ketinggalan 0-3 pada end pertama sebelum bangkit untuk menang bergaya 4-0 pada end kedua dan seterusnya mengesahkan kemenangan 5-4 dalam keseluruhan empat end bagi aksi Kumpulan A.
Keputusan itu menyaksikan mereka berjaya menebus kekalahan 2-5 kepada Edilson Chica-Leidy Chica dari Colombia pada saingan pertama Kumpulan A pagi tadi.
Hanya dua pasangan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir esok.
Bercakap kepada Bernama selepas perlawanan, Abdul Razzaq bersyukur dapat menyerap tekanan ketinggalan di end pertama ketika menentang pasangan Ukraine itu dan selepas kekalahan kepada gandingan Colombia.
“Kami memang tidak fikir banyak tadi, hanya nikmati permainan,” katanya.
Sementara itu, jurulatih boccia negara Raja Zahrule Azhar Raja Khairul Anwar berkata anak buahnya akan dapat ke peringkat seterusnya jika gandingan Colombia menewaskan Ukraine dalam perlawanan tengah malam ini.– BERNAMA
Gambar
Atlet boccia Abdul Razzaq Abdul Rahman, berasal dari Sarawak (gambar fail)