PARIS: Cabaran sulung perenang para negara, Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan berakhir dengan kehampaan selepas tersingkir di peringkat saringan 100 meter (m) kuak lentang lelaki S14 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini, hari ini.
Perenang berusia 18 tahun itu yang beraksi dalam saringan tiga berada di kedudukan akhir dengan catatan 1 minit 04.58 saat (s) sekali gus berada dalam kedudukan tercorot secara keseluruhan daripada tiga saringan di Paris La Defense Arena.
Hanya lapan perenang terbaik di peringkat saringan mara ke final petang ini.
Jaguh Australia Benjamin Hance bukan sahaja mengungguli saringan tiga malah muncul perenang terpantas dengan catatan 56.52s yang juga rekod dunia baharu mengatasi catatan lamanya 57.73s pada Tokyo 2020.
Catatan masa Imaan Aiman juga jauh jika dibandingkan dengan catatan peribadi terbaik yang juga rekod kebangsaan miliknya iaitu 1.01.76s dilakar pada Kejohanan Renang Para Siri Dunia 2023 di Singapura.
Sementara itu, Imaan Aiman kecewa tidak dapat menjelmakan renangan terbaik untuk mengatasi rekod kebangsaannya.
“Prestasi hari ini kurang sikit, jarak 50 meter pertama saya lebih kurang sama dengan catatan peribadi terbaik (PB) saya (1:01.76s) namun baki jarak itu kurang sikit,, mungkin gementar.
“Latihan sebelum ini pun saya dapat buat PB namun ketika di bilik menunggu saya gugup apabila dikelilingi dengan jaguh dunia lain,” katanya.
Walaupun tidak berjaya ke final, namun beliau tekad memadam kekecewaan di Paris 2024 dengan bangkit pada Sukan Para ASEAN 2025 di Thailand dan Sukan Para Asia 2026 di Jepun.
Sukan Paralimpik Paris 2024 yang bermula 28 Ogos lepas berakhir Ahad ini.– BERNAMA