DEBAK: Penduduk di tiga kampung di daerah kecil Debak kini dalam keadaan berjaga-jaga susulan peningkatan paras air sungai yang naik, hari ini.
Penguasa Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata tiga kampung yang terjejas –
adalah Kampung Babu, Kampung Bungey dan Kampung Lalang.
Beliau berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong telah menerima panggilan daripada penduduk kampung sekitar jam 10.20 pagi tadi.
“Akibat paras air sungai yang naik itu, sebanyak tiga kampung berdekatan telah dinaiki setinggi satu kaki disebabkan aliran air deras dari kawasan hulu ke Sungai Saribas.
“Ketika anggota di lokasi kejadian, tiada tindakan operasi pemindahan dilakukan disebabkan trend air cepat menurun,” katanya.
Muhammad Rais berkata walaupun pada sebelah petangnya trend air di Sungai Saribas menurun, penduduk diminta untuk berada dalam keadaan berjaga-jaga, terutamanya penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko banjir adalah dinasihatkan agar sentiasa peka dengan situasi semasa.
“Pastikan sentiasa dalam keadaan bersedia dan berjaga-jaga sekiranya hujan berpanjangan serta paras air sungai menaik. Sekirannya berlaku banjir dan melimpah di kawasan rumah, segera berhubung kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan menyelamat.
“Langkah ini amat penting dalam memastikan keselamatan nyawa serta harta benda mereka,” katanya.
Muhammad Rais menambah, walaupun keadaan terkini di tiga kampung agak terkawal, pihaknya sentiasa berjaga-jaga dengan memantau perkembangan semasa supaya operasi menyelamat dapat dilakukan segera jika paras air terus meningkat di kawasan terlibat.
Oleh ADI SAFARMAN