
KUCHING: Paras air sungai di beberapa lokasi pemantauan utama di bandar raya ini masih berada di bawah paras normal setakat 6.30 petang tadi, meskipun Sarawak kini sedang melalui fasa air pasang besar yang dijangka berlarutan sehingga penghujung bulan ini.
Berdasarkan pemantauan setakat 6.48 petang tadi menerusi sistem iHidro Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak, bacaan paras air di Stesen Barrage, Stesen Satok B dan Stesen Padungan masing-masing direkodkan jauh lebih rendah daripada paras amaran, amaran awal mahupun bahaya.
Di Stesen Barrage, paras air direkodkan pada 0.20 meter, berbanding paras normal 0.80 meter, manakala paras amaran hanya ditetapkan pada 2.80 meter. Bacaan sama turut menunjukkan status paras air berada di tahap bawah normal.
Sementara itu, Stesen Satok B mencatatkan paras air 0.12 meter, jauh lebih rendah berbanding paras normal 0.27 meter, dengan paras amaran ditetapkan pada 2.40 meter. Keadaan serupa direkodkan di Stesen Padungan apabila paras air hanya 0.33 meter, berbanding paras normal 0.50 meter.
Data iHidro juga menunjukkan tiada hujan direkodkan di ketiga-tiga stesen berkenaan setakat masa bacaan diambil, meskipun jumlah hujan harian dicatatkan antara 17 hingga 22.5 milimeter.
Namun begitu, keadaan itu boleh berubah dengan cepat sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar, sekali gus meningkatkan risiko limpahan air sungai di kawasan penempatan rendah berhampiran sungai.
Terdahulu, JPS Sarawak memaklumkan bahawa fenomena air pasang besar yang bermula sejak 2 Januari dijangka berlarutan sehingga 24 Januari, dengan paras tertinggi diramal mencecah 6.1 meter dalam tempoh beberapa hari ini.
Paras air pasang tertinggi dijangka berlaku hari ini sekitar 6.03 petang, diikuti esok (6.49 petang) dan Selasa ini (7.32 malam) sebelum menunjukkan trend penurunan sementara bermula 8 Januari.
Gelombang kedua air pasang besar pula dijangka bermula pada 18 Januari, dengan pihak berkuasa menasihatkan penduduk khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai agar terus berwaspada serta memantau perkembangan semasa dari semasa ke semasa.
Oleh Shahrul Qaizat