
SIBU: Tinjauan di sekitar Jalan Merlin, Jalan Geronggang dan Jalan Hua Kiew mendapati semua laluan berada dalam keadaan baik serta masih boleh dilalui kenderaan walaupun terdapat kawasan yang dinaiki air susulan hujan lebat.
Pegawai Pertahanan Awam (APM) Daerah Sibu, Mej (PA) Mohd Reduan Aini berkata, tinjauan di lokasi pertama di Lorong Merlin 4 mendapati paras air setinggi buku lali iaitu kira-kira 0.12 meter.

“Di lokasi kedua, Jalan Geronggang, paras air dicatatkan setinggi buku lali iaitu sekitar 0.09 meter, manakala Jalan Hua Kiew tidak mengalami sebarang kenaikan paras air,” katanya.
Beliau berkata, keadaan di semua kawasan yang ditinjau setakat ini masih terkawal.
“Pemantauan terus dijalankan di kawasan berisiko banjir berikutan faktor perparitan tersumbat serta hujan berterusan sejak beberapa hari lalu di Daerah Sibu,” katanya.
Oleh Akun Giman