



KOTA SAMARAHAN: Seramai lapan penduduk daripada tiga keluarga di Kampung Endap, di sini berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Endap susulan banjir yang melanda kawasan berkenaan malam tadi.
Menurut keyataan Pusat Gerakan Operasi(PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, rondaan pemantauan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijalankan pada jam 11.20 malam mendapati paras air di kampung itu dianggarkan setinggi 0.6 meter (dua kaki).
“Rondaan tersebut dilaksanakan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Bau dengan kekuatan dua anggota serta sebuah van, ketika hujan lebat masih berterusan, namun trend paras air dilaporkan menurun,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Sementara itu, rondaan berasingan di Kampung Puak, Bau pada jam 10.31 malam mendapati air banjir kilat telah surut sepenuhnya dan keadaan dilaporkan terkawal.
JBPM Sarawak memaklumkan pemantauan berterusan akan diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk sepanjang tempoh Monsun Timur Laut.
Oleh Shahrul Qaizat